Bersatu menjadi penghubung kepada usaha muafakat dikalangan masyarakat – Arifin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 40 Second

Membakut :  Para pemimpin masyarakat serta ketua-ketua adat khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut dan Bongawan perlu memainkan peranan sebagai pemersatu dalam muafakat dikalangan masyarakat. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, para pemimpin setempat juga perlu berusaha menjadikan daerah ini sebagai daerah contoh di Sabah.

Katanya, pemimpin setempat juga digesa agar tidak membazirkan masa dan tenaga terlibat dalam pertelingkahan politik.

“Para pimpinan akar umbi di kedua-dua DUN ini perlu berlapang dada dan sentiasa bermuafakat antara kita dan berbincang untuk kebaikan bersama. 

“Apapun pegangan agama, aliran politik dan bangsa serta keturunan, inilah kesempatan untuk kita menyatukan komuniti ataupun masyarakat berbilang kaum di daerah kita ini dan mana kita terkenal sebagai daerah pelbagai kaum seperti daerah lain.

“Inilah yang perlu dimainkan oleh ketua-ketua adat semua, kita adalah pemersatu atau menjadi penghubung kepada usaha muafakat di antara kita dan bersyukur kerana selama ini Ketua-ketua adat memberi kerjasama kepada saya dan ahli parlimen dalam membangun kawasan ini, ” katanya.

Beliau ditemui media dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Ketua-Ketua Jabatan Daerah Membakut Tahun 2023, di sini hari ini.

Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut turut mengajak masyarakat di daerah berkenaan untuk sama-sama bertanggungjawab menjadi contoh kepada daerah-daerah yang lain.

“Sekiranya kita asyik memikirkan perbezaan politik, pertembungan antara politik maka mungkin kita tidak dapat memberi fokus kepada pembangunan daerah. 

“Banyak lagi yang perlu kita fikirkan, yang perlu dirancang di daerah kita di DUN Membakut dan Bongawan kerana kedua-duanya memerlukan lebih banyak pembangunan termasuk dari sudut kemudahan hospital kita yang masih terkebelakang,” katanya. 

Dalam ucapannya, Arifin turut mengingatkan Pegawai Daerah agar memberi tumpuan menyelaras jabatan serta agensi kerajaan di daerah baharu berkenaan bagi memudahkan perjalanan pentadbiran seterusnya memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat di kedua-dua DUN terbabit.

Pada majlis itu, lebih 30 gerai daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan menyediakan juadah aidilfitri kepada kira-kira 1,000 pengunjung di Perkarangan Pejabat Daerah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *