Kota Kinabalu : Penyokong dan peminat bola sepak Sabah FC kini berpeluang untuk bertemu serta berinteraksi dengan pemain skuad Badak dengan lebih dekat.
Peluang untuk bertemu para pemain Sabah FC itu adalah menerusi pakej ‘Bola In The City With Sabah FC – A Trip Of Excitement’ yang ditawarkan menerusi kerjasama dengan Tourism Malaysia dan lapan agensi pelancongan yang beroperasi di negeri ini.
Sabah FC juga merupakan antara kelab bola sepak pertama di negara ini yang menawarkan pakej pelancongan bola sepak yang membolehkan para penyokong menyaksikan sesi latihan di Stadium Likas sehari sebelum aksi sebenar Liga Super bermula.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, inisiatif yang ditawarkan itu juga turut memberi peluang kepada penyokong untuk menonton perlawanan bersama pemain legenda bola sepak Sabah.
Katanya, beberapa bekas pemain Sabah yang pernah mengharumkan nama pasukan seperti Datuk Hassan Sani, Datuk James Wong, Matlan Marjan, Burhan Ajui, Jelius Ating dan ramai lagi sedia menemani peminat bola sepak Sabah di Stadium Likas.
“Tahniah saya ucapkan kepada Sabah FC yang menjadi rakan strategik dalam kerjasama ini.
“Dengan pencapaian yang amat memberangsangkan dalam saingan Liga Super musim ini, kita berharap kejayaan akan terus berpihak kepada Sabah FC,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran pakej ‘Bola In The City With Sabah FC – A Trip Of Excitement’ di sini semalam.
Hadir sama, Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof; Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir dan Pengurus yang juga Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.
Pakej pelancongan bola sepak berharga RM330 seorang itu turut menggabungkan elemen pelancongan ke beberapa destinasi atau aktiviti menarik di sekitar ibu negeri.
Ia termasuk kunjungan ke Pulau Manukan, Rumah Terbalik Tamparuli, Monsopiad Heritage Village dan Tagal Tinopikan Walk di Penampang, Kampung Nelayan Seafood Restaurant, Restoran Makanan Tradisi atau aktiviti Food Massage.
Khairul Firdaus berkata, pihaknya juga yakin pakej itu akan dapat menarik lebih ramai peminat bola sepak ke stadium malah akan dapat membantu meningkatkan kedatangan pelancong ke Sabah.
“Saya amat optimis dengan perkembangan ini kerana dianggarkan 80 hingga 100 peminat setia akan mengikuti pemain atau pasukan kegemaran mereka ke mana saja perlawanan bola sepak berlangsung di seluruh negara,” katanya.
Khairul Firdaus berkata, pihaknya melalui Tourism Malaysia juga melihat peluang untuk mengembangkan pakej yang sama dengan kelab bola sepak di negeri lain sebagai satu langkah mengembangkan potensi komersial industri bola sepak negara. – SABAH MEDIA