BERNAMA
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Penampang: Seperti mana perayaan lain di negara ini Pesta Kaamatan wajar diraikan secara bersama semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan tidak terhad diraikan penduduk Sabah semata-mata, kata Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Jeffrey Kitingan.
Beliau berkata meraikan secara bersama Pesta Kaamatan, sebuah pesta menuai tahunan pada 30 dan 31 Mei, dapat mengukuhkan kesatuan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, selain memupuk semangat kesefahaman dengan mendalam mengenai adat serta budaya antara satu sama lain.
Justeru katanya pelbagai acara sempena Pesta Kaamatan telah diatur di Sabah juga di Sarawak dan negeri-negeri di Semenanjung bagi meraikan Pesta Kaamatan bersama seluruh rakyat Malaysia, antaranya Unduk Ngadau, pertandingan ratu cantik tradisi, dan Sugandoi, pertandingan nyanyian lagu rakyat.
“Pelancaran sambutan Pesta Kaamatan dijadualkan pada 1 Mei ini, kemudian pelbagai acara akan diadakan, dan ia juga akan disambut di luar Sabah dan Sarawak, seperti di Johor pada 5 Mei, Melaka pada 6 Mei dan Lembah Klang 13 Mei,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Pelancaran Pesta Kaamatan 2023 pada 1 Mei ini akan berlangsung di Dewan Seri Sulaman, Tuaran, dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, dan kemudian pelbagai acara telah diatur di daerah-daerah Sabah, serta negeri lain seluruh negara, sebelum sambutan kemuncak di sini pada 30 dan 31 Mei.
Jeffrey berkata selain Malaysia pihaknya juga menerima cadangan mengadakan sambutan perayaan itu di luar negara seperti di Australia dan New Zealand, justeru beliau mengalu-alukan cadangan itu serta mengajak orang ramai di luar negara untuk bersama meraikan Pesta Kaamatan.
Katanya bagi memastikan budaya serta tradisi Pesta Kaamatan dikekalkan untuk generasi akan datang, pihaknya sedang berusaha untuk mendaftarkan elemen pesta itu dengan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Pesta Kaamatan 2023 berkata, pihaknya merancang untuk menghantar tujuh elemen perayaan itu bagi didaftarkan dengan UNESCO merangkumi pakaian, makanan dan muzik tradisi.
“Selain mengekalkan budaya dan tradisi ini, dengan mendaftarkan elemen ini dengan UNESCO kita juga berharap dapat membawa Pesta Kaamatan ini ke peringkat antarabangsa sebagai sebuah budaya dan tradisi yang dikongsi seluruh dunia,” katanya.
Sementara itu, Jeffrey menasihatkan orang ramai yang menyambut dan menyertai acara dalam Pesta Kaamatan supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengamalkan langkah pencegahan penyakit berjangkit seperti COVID-19 dengan memakai penutup muka di kawasan awam di samping kerap menggunakan pembasmi kuman untuk menjaga kebersihan.- BERNAMA / PIX Team Media KDCA