HomeUtamaKetibaan penumpang dari Guangzhou disambut meriah di KKIA

Ketibaan penumpang dari Guangzhou disambut meriah di KKIA

Read Time:2 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU: Pesawat yang membawa 194 penumpang dari Guangzhou disambut dengan pancuran air sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada Sabtu.

Ketibaan penumpang pesawat Airbus A321neo disambut meriah itu menandakan penyambungan semula penerbangan terus China Southern Airlines antara Guangzhou dan Kota Kinabalu selepas pandemik.

Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun di Guangzhou pada 4.10 petang dan tiba di sini pada jam 7.10 malam menaiki penerbangan CZ8335.

Turut hadir menyambut kedatangan pengunjung Cina itu ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew dan Pembantu Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai yang mengalungkan mereka (pengunjung) dengan rantai manik asli Sabah. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif STB Noredah Othman.

Christina sempat berbual dengan ahli kumpulan pelancongan tersebut bahawa Sabah menyediakan pelbagai pilihan tempat percutian dan aktiviti.

“Sesetengah daripada anda menggemari laut dan pantai atau berhasrat untuk bersnorkeling atau menyelam. Kami mempunyai Gunung Kinabalu, hidupan liar ikonik dan syurga menyelam bertaraf dunia di Pulau Sipadan terletak di pantai timur Sabah.

“Dari Pantai Tanjung Aru di sini, anda akan dapat melihat matahari terbenam yang paling indah di dunia. Sesetengah daripada anda mungkin memilih pengembaraan, eko pelancongan, pelancongan golf atau pelancongan kesihatan. Bagi penggemar budaya, anda berpeluang untuk mengalami warisan budaya Sabah yang kaya di sini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar China Southern Airlines (Pejabat Kuala Lumpur) Eric Wang berkata, dengan penyambungan semula laluan Kota Kinabalu, syarikat penerbangan itu akan mengendalikan tiga laluan dalam masa terdekat antara China dan Malaysia dengan berlepas dari Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang ke Guangzhou yang berjumlah 31 penerbangan setiap minggu.

Menurut Eric, sebelum ini, China Southern Airlines yang terjejas akibat pandemik Covid-19 itu hanya mengendalikan penerbangan antara Kuala Lumpur dan Guangzhou sekali seminggu.

“Berikutan pemulihan daripada wabak itu, penerbangan antara China dan Malaysia telah disambung semula secara beransur-ansur, dan laluan Kuala Lumpur-Guangzhou China Southern Airlines juga akan beroperasi semula kepada tiga penerbangan sehari bermula dari 15 Mei 2023.

“Justeru, penyambungan semula penerbangan terus antara Guangzhou dan Kota Kinabalu akan memberi peningkatan tambahan kepada pembangunan perniagaan, pertumbuhan pelancongan dan pertukaran budaya antara China dan Malaysia,” katanya.

Mengenai rancangan masa depan, Eric berkata, China Southern Airlines akan menjalankan kerjasama yang lebih mendalam dan merentas sempadan dengan perniagaan utama dan pihak berkepentingan pelancongan di kedua-dua negara dalam mencari kebaikan bersama untuk mencapai keputusan menang-menang.

“Matlamat kami adalah untuk mengukuhkan lagi perkhidmatan kami bagi menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih selesa dan mudah untuk semua penumpang yang melakukan perjalanan antara China dan Malaysia,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular