HomeUtamaPenggunaan dron bantu tingkat hasil pengusaha pertanian

Penggunaan dron bantu tingkat hasil pengusaha pertanian

Read Time:1 Minute, 43 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Sook : Pembangunan ekosistem pengaplikasian teknologi dron dalam sektor pertanian mampu membantu pengusaha meningkatkan lagi hasil pertanian yang dijalankan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, penggunaan dron juga mampu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing selain memberi peluang pekerjaan kepada petani-petani khususnya luar bandar.

“Secara umumnya, daripada kajian yang telah dilaksanakan, pengunaan dron dalam sektor pertanian dapat memberikan maklumat tepat kepada petani dalam penggunaan racun dan baja serta status kesihatan tanaman.

“Ini membolehkan peningkatan produktiviti tanaman sekitar 30 peratus dan pengurangan kos operasi sebanyak 20 peratus dan sekaligus menyumbang kepada peningkatan pendapatan para pekebun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Penanam Sawit Mampan Daerah Keningau Sabah Berhad Kali Keenam di sini.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, pihaknya akan memberi perhatian dan melihat secara mendalam inovasi dan teknologi yang bersesuaian untuk diaplikasikan di Kawasan Parlimen berkenaan.

“Saya percaya pasti ada inovasi yang akan dapat membantu meningkatkan lagi kualiti dan produktiviti tanaman” katanya.

Arthur Joseph Kurup

Dalam pada itu Arthur menyifatkan industri sawit di daerah Keningau dan daerah kecil Sook merupakan industri yang sangat penting dan masih berpotensi tinggi untuk meningkatkan ekonomi dan pendapatan rakyat kawasan luar bandar.

Justeru beliau menyeru agar lebih ramai peladang sawit menyertai koperasi seperti ini bagi memudahkan penyaluran maklumat dan bantuan berkaitan industri sawit dan juga memudahkan pengurusan dan perancangan dalam industri ini.

Tambahnya lagi, penyertaan dalam koperasi dapat meningkatkan rangkaian hubungan dengan para pemain industri yang lain untuk mengikuti perkembangan teknologi dalam industri ini.

“Sudah pasti kita di kementerian akan terus komited untuk menjalankan kerjasama dengan pelbagai pihak yang berkaitan bagi mengadaptasi teknologi penyelesaian yang memberi impak berkesan dalam memastikan sekuriti bekalan makanan terjamin dengan kos berpatutan.

“Bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) adalah amat luas dan mempunyai potensi yang sangat besar yang dapat menawarkan penyelesaian terbaik yang dapat memudahkan kerja seharian termasuklah dalam sektor pertanian dan perladangan,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Koperasi Penanam Sawit Mampan Daerah Keningau Sabah Berhad Datuk Justin Guka dan mesyuarat turut dihadiri lebih 300 ahli. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Yayasan PETRONAS agih 500 bakul makanan sempena Kaamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular