HomeUtama"Saya tidak terkejut dengan tindakan BERSATU" - Armizan

“Saya tidak terkejut dengan tindakan BERSATU” – Armizan

Read Time:2 Minute, 36 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali tidak terkejut dengan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) baru-baru ini memohon kebenaran bagi mencabar keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul untuk tidak mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah.

“Saya tidak terkejut dengan perkara ini kerana ianya tindakan pihak tertentu yang tidak ingin melihat gerakan parti tempatan di Sabah dan merupakan usaha untuk menggagalkan Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bergerak dalam satu landasan mengikut citra tempatan,” kata Armizan ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini, hari ini.

Ditanya mengenai adakah mereka (BERSATU) mempunyai asas untuk mencabar perkara ini?

Armizan yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) berkata, tanyakan kepada pihak yang membawa tuntutan ini ke mahkamah. Tanyakan kepada beliau (Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee) mengapa beliau bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan kami (empat Ahli Parlimen GRS Sabah) bertanding di bawah tiket GRS. Adakah sama atau berbeza? Sama-sama kita tunggulah biar mahkamah yang akan putuskan.

Tambah beliau, setakat ini beliau belum menerima afidavit daripada pihak mahkamah mengenai perkara itu.

“Saya hanya terima beberapa maklumat tetapi afidavit belum sampai kepada saya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yakin tidak ada keperluan untuk mengosongkan empat kerusi Parlimen Sabah berkenaan.

“Saya rasa tidak akan berlaku kekosongan kerusi (empat kerusi Parlimen Sabah) dan saya rasa kita perlu menghormati sistem kehakiman negara kita dan kita perlu patuhi dan hormati meskipun keputusan telah dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat mengenai perkara berkenaan sebelum ini,” tegasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah berkata, beliau hanya menyerahkan kepada pihak atasan untuk memutuskan perkara itu.

“Walaupun Speaker Dewan Rakyat telah putuskan keputusan mengenai perkara itu sebelum ini tapi mereka ulang balik perkara itu, kita tidak ada masalah, kita serahkan kepada pihak atasan dari segi perundangan kerana kitapun ada peguam dan kalau ada keputusan kita akan maklumkan nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sama hari ini.

Terdahulu, memetik laporan Utusan Malaysia pada Sabtu (29 April), permohonan untuk mengosongkan empat kerusi Parlimen Sabah difailkan oleh parti Bersatu melalui pegawai awam pertubuhan itu, Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Naib Presiden parti itu, Datuk Ronald Kiandee selaku pemohon pada 17 April lalu melalui firma guaman, Tetuan Chetan Jethwani & Company di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Permohonan untuk mendapatkan kebenaran itu akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh 30 Mei ini.

Selain Johari, turut dinamakan sebagai responden kedua hingga kelima ialah empat Ahli Parlimen kawasan terlibat iaitu Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) serta Matbali Musah (Sipitang).

Menurut afidavit yang difailkan, pemohon mendakwa telah berlaku kekosongan luar jangka membabitkan Parlimen Papar, Ranau, Sipitang dan Batu Sapi.

Kekosongan itu berlaku selepas Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor telah membuat satu kenyataan media yang menyatakan kesemua pemimpin parti BERSATU Sabah termasuk responden kedua hingga kelima telah keluar daripada parti pada 10 Disember 2022, iaitu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri baharu.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah FC juara Piala SMJ 2024

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya