HomeIsu tempatanWarga tua Sri Pritchard antara penerima sumbangan Aidilfitri

Warga tua Sri Pritchard antara penerima sumbangan Aidilfitri

Read Time:1 Minute, 34 Second

Kota Kinabalu : “Gembira, bersyukur penghuni kami dipilih sebagai penerima sumbangan kali ini,” kata Jururawat Mohd Shahrizal Asman.

Mohd Shahrizal merupakan penjaga kepada tujuh orang penghuni Rumah Warga Tua Sri Pritchard, Kinarut yang dipilih sebagai penerima sumbangan sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah Tahun 2023 di sini, semalam.

SYUKUR…Dudi meluah rasa syukur kerana kali pertama terpilih sebagai penerima sumbangan.

Katanya, sumbangan itu akan dapat membantu meringankan beban penghuni terutama yang sudah tidak ada keluarga.

“Biasanya, penghuni akan guna duit sumbangan untuk beli keperluan peribadi masing-masing antaranya makanan ringan dan sabun cuci sebab keperluan seperti ini kami hanya sediakan untuk penghuni bedridden sahaja,” katanya.

Beliau yang telah berkhidmat selama tiga tahun di rumah warga tua berkenaan berkata, daripada tujuh penghuni yang menerima bantuan semalam, dua masih mempunyai keluarga dan yang selebihnya memang sudah tinggal sebatang kara.

Sementara itu, orang kurang upaya (OKU) penglihatan, Dudi Abas, 55, yang berasal dari Semporna juga bersyukur dengan bantuan yang diterima dapat menampung keperluan dua anaknya.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri dan Ketua Menteri Sabah kerana mengundang kami untuk menerima bantuan hari ini,” tambah Dudi yang hilang penglihatan ketika berusia 15 tahun akibat demam panas.

Dalam majlis tersebut, seramai 70 penghuni rumah warga emas, orang kurang upaya dan anak yatim menerima sumbangan duit raya yang disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag.

Antara pertubuhan yang terpilih adalah Rumah Warga Tua Sri Pritchard Kinarut, Pusat Aktiviti Warga Emas, Taman Didikan Orang Kurang Upaya Sembulan, Persatuan Rumah dan Perkhidmatan Cheshire, Rumah Bakti Harapan Kota Kinabalu, Rumah Anak Yatim Tuaran dan Rumah Anak Yatim Sakinah Kinarut.

Turut mengiringi penyampaian sumbangan ialah Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Joachim Gunsalam dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Arif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah Tahun 2023.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS usaha sebar luas pengetahuan berkaitan HIV AIDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular