HomeUtamaPesta Kaamatan pupuk perpaduan rakyat berbilang kaum

Pesta Kaamatan pupuk perpaduan rakyat berbilang kaum

Read Time:2 Minute, 26 Second

Tuaran : Kerajaan Sabah sentiasa memberi sokongan kepada sambutan dan program kebudayaan serta keagamaan di negeri ini termasuk Pesta Kaamatan yang mampu menjadi platform untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perayaan ini juga menjadi platform untuk mempromosikan kesepaduan sosial dan membantu membina jambatan persefahaman antara masyarakat etnik yang berbeza. 

Katanya, Pesta Kaamatan juga adalah peluang bagi masyarakat Kadazandusun Murut dan Rungus(KDMR) untuk mempamerkan tradisi dan adat tradisi mereka, sama ada melalui tarian, muzik, serta pakaian tradisional. 

“Kita percaya program kebudayaan dapat memantapkan lagi perpaduan masyarakat yang berbilang kaum dan memberi peluang untuk kita mengenali, memahami serta menghargai adat dan budaya suku kaum masing-masing. 

“Kepelbagaian budaya dan warisan dengan keharmonian 35 etnik dan 217 subetnik di Sabah telah menjadikan ‘Negeri Di Bawah Bayu’ sebagai bumi yang unik bagi setiap rakyat dan tetamu yang bertandang ke negeri ini.  

“Justeru, ini amat signifikan dengan usaha kerajaan untuk memartabatkan warisan kebudayaan dan kesenian rakyat tempatan. Budaya merupakan aspek penting dalam kehidupan kita yang menjadi identiti sesuatu etnik dan harus dipelihara serta dimartabatkan untuk kepentingan semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Seri Sulaman, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan. 

Hajiji berkata, Pesta Kaamatan ini bukan sahaja bertujuan menyatakan rasa kesyukuran di atas hasil tuaian yang baik tetapi juga memberi peluang kepada saudara mara untuk berkumpul dan mengeratkan silaturahim serta perpaduan. 

“Semangat persaudaraan, persahabatan dan perpaduan yang selama ini menjadi amalan hidup kita, terus diperkukuhkan dan dimantapkan lagi sesuai dengan semangat Malaysia Madani, menerusi perayaan ini. 

“Sepanjang tempoh sebulan ini, pastinya banyak sambutan Kaamatan yang akan diadakan dalam pelbagai peringkat di seluruh negeri. Oleh itu, saya mengajak semua pihak untuk sama-sama menyertai dan menjayakan sambutan Tadau Kamaatan di peringkat daerah, kampung mahu pun organisasi masing-masing.  

“Saya berharap semangat perayaan Pesta Kaamatan ini akan terus kita hayati demi kestabilan, keamanan, persahabatan serta kemakmuran negeri dan rakyat pada keseluruhannya,” katanya. 

Dalam pada itu, Hajiji juga meminta agar kumpulan etnik dan subetnik di seluruh Sabah meningkatkan usaha mereka untuk mempromosikan dan mempamerkan budaya masing-masing.  

“Berbanggalah dengan identiti budaya kita yang diwarisi sejak turun-temurun. Kekalkan kelangsungan bukan sahaja identiti budaya malah bahasa etnik masing-masing untuk anak bangsa akan datang. 

“Saya berasa gembira kerana ada kesedaran oleh banyak kumpulan etnik untuk menyokong usaha kerajaan dalam mengekalkan tradisi etnik dan pada masa yang sama mempromosikan kepelbagaian budaya yang amat kita banggakan di Sabah,” katanya. 

Beliau turut berasa gembira kerana rakyat telah menyokong usaha kerajaan dalam setiap aspek pembangunan di negeri ini. 

“Saya menyeru rakyat untuk terus bersama kami sebagai rakan kongsi dalam usaha ini dan bersama kerajaan mengekalkan kestabilan politik serta kemajuan ekonomi demi kelancaran pembangunan di negeri ini,” katanya.  – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah salur RM23 juta bantu sekolah bukan Kerajaan, persendirian Cina

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya