SIPITANG: Seramai 51 pengunjung Majlis Raya Sekampung sempena sambutan Aidilfitri 2023 berjaya membawa pulang hadiah cabutan tiket bertuah yang diadakan di bangunan Pusat Rukun Tetangga Kampung Kalamauh dekat sini pada Sabtu.
Pengerusi penganjur, Abdul Bakar Esah berkata mereka yang bernasib baik itu termasuklah mereka yang memberi sumbangan khas untuk majlis itu.
“Selain cabutan bertuah untuk pengunjung, pihak kami juga menyediakan hadiah cabutan tiket bertuah khas untuk penyumbang kewangan dan penyumbang juadah hari raya pada majlis ini,” katanya.
Program yang dianjurkan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Mesapol (Kg Kalamauh) Sipitang dengan kerjasama Persatuan Penduduk Kampung Kalamauh (PPKK) dan Jawatankuasa Surau Kg Kalamauh itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, Ketua Kampung Kalamauh, KK Ismi Kuman, Imam Kariah Mesapol, Pg Kamarudin Pg Shamsudin dan Pengerusi PPKK, Ali Mohamad.
Selain jamuan hari raya, majlis turut menyaksikan pengunjung kanak-kanak kelihatan gembira dan ceria menerima duit raya yang disediakan oleh pihak penganjur.
Abdul Bakar yang juga pengerusi KRT Pekan Mesapol (Kg Kalamauh) berkata program itu sudah menjadi aktiviti tahunan setiap kali sambutan Aidilfitri.
“Seperti tahun-tahun yang lalu, majlis seperti ini dianjurkan secara suasana santai melalui kerjsama daripada dan PPKK dan Jawatankuasa Surau.
“Alhamdulillah, dengan izin Allah melalui gabungan sumbangan kewangan, material dan sumbangan tenaga dari penduduk setempat, Majlis Raya Sekampung 2023 telah dapat dilaksanakan dengan jayanya pada 29 April 2023 (Sabtu),” katanya.
Sehubungan itu, katanya, jawatankuasa penganjur merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua penyumbang yang realitinya telah membantu pihak penganjur menjayakan majlis tersebut.
“Dalam kesempatan ini juga pihak kami mengucapkan berbanyak terima kasih atas komitmen yang diberikan oleh semua penduduk yang terlibat melaksanakan kerja-kerja persiapan pada masa sebelum, semasa dan selepas majlis termasuk semua pengunjung yang telah merealisasikan kemeriahan majlis.
“Kepada penduduk yang tidak berkesempatan hadir, semoga ada kelapangan dan masa terluang di masa akan datang. In shaa Allah. Dan untuk anak-anak yang telah menerima duit raya pada majlis ini, rajin-rajinlah belajar hingga ke puncak jaya dan jumpa lagi raya tahun depan. In shaa Allah,” katanya.