Sabah perlu tubuh syarikat penerbangan sendiri, cabang ekonomi baharu – Masiung

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu menjejaki langkah Sarawak untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri sebagai salah satu cabang baharu ekonomi wilayah Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, cadangan itu wajar menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan Sabah kerana ia menjanjikan pelaburan berpotensi.

“ Sudah tiba masanya kita menerokai industri ‘aero penerbangan’ sendiri sebagai pelaburan jangka panjang kerajaan Sabah.

“ Aero penerbangan Sabah perlu diwujudkan supaya rakyat Sabah mendapat menfaat selain menyumbang kepada pembangunan domestik, “ katanya.

Masiung berkata, rakyat Sabah dan Sarawak selalu dijadikan ‘mangsa buli’ syarikat penerbangan nasional sedia ada apabila tiba musim perayaan.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata, syarikat penerbangan sekarang akan mengambil kesempatan meraih keuntungan berlipat ganda menaikan harga tiket sehingga 500 peratus kepada rakyat Sabah apabila menjelang hari perayaan.

“ Saya kesal kerana warga Sabah dan Sarawak terdiri daripada golongan pelajar dan pekerja rendah di Semenanjung yang terpaksa memerah keringat bagi membeli tiket penerbangan untuk pulang ke wilayah Borneo.

“ Sedangkan Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM93 juta subsidi tol kepada rakyat di Semenanjung selama empat hari pada perayaan Aidilfitri tahun ini.

“ Warga Sabah dan Sarawak selalu dipandang sebelah mata dalam agihan subsidi walaupun kedua-dua wilayah ini menjadi penyumbang terbesar hasil ekonomi negara,” ujarnya.

Beliau turut menggesa kerajaan Malaysia Madani pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar melihat keseimbangan rakyat Semenanjung dan Wilayah Borneo mendapat subsidi sama rata.

“Sepatutnya rakyat Sabah dan Sarawak tidak terkecuali menikmati subsidi untuk mengurangkan nilai tiket penerbangan harga kayangan ke wilayah Borneo menjelang Aidilfitri yang lalu,” katanya.

Masiung berkata, beliau akan menyuarakan cadangan supaya kerajaan Sabah menubuhkan syarikat penerbangan sendiri menjelang sidang Dewan Undangan Negeri pada 23-25 Mei depan.

Beliau yakin kerajaan Sabah mampu melaksanakan cadangan baharu itu kerana ianya dianggap penting membantu rakyat Sabah, pegawai kerajaan dan pemimpin Sabah untuk berulang-alik antara Semenanjung dan Sabah dengan harga tiket berpatutan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *