Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kota Kinabalu : Pelatih Tunas Asas Bola Sepak Sabah (TABS) Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Bandaraya kini lebih bergaya dengan menampilkan jersi latihan baharu yang akan digunakan sepanjang sesi latihan tahun ini.
Jersi latihan yang dilancarkan di padang TABS di sini pagi tadi merupakan inisiatif kolaborasi antara TABS Safa Bandaraya dan NY7 dalam meningkatkan lagi semangat para pelatih yang menyertai.
Pelancaran jersi itu disempurnakan Timbalan Pengerusi TABS Safa Bandaraya Lokman Sunggim bersama pengasas NY7 Sports, Naimmi Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammad Masnizam Hamid.
Hadir sama Setiausaha TABS, Amsir Abdullah, ketua jurulatih, Matasan Ahmad, penolongnya Roslan Wasli dan para jurulatih TABS.
Lokman berkata, pihaknya merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak NY7 Sports atas kerjasama yang dijalinkan bersama TABS.
Beliau turut berharap kerjasama dan kolaborasi itu dapat diperluaskan lagi untuk program dan aktiviti yang lain pada masa akan datang khususnya berkaitan dalam pembangunan sukan bola sepak.
Sebelum ini, TABS juga berkolabarasi dengan kelab Sabah FC untuk program pembangunan bola sepak.
“Buat permulaan kerjasama dengan NY7 hanya melibatkan penyediaan jersi untuk seragam pelatih dan ini boleh diperluaskan untuk hal-hal yang lain,” katanya. – SABAH MEDIA