HomeIsu tempatanWanita warga Kenya teruja sertai pertandingan Unduk Ngadau

Wanita warga Kenya teruja sertai pertandingan Unduk Ngadau

Read Time:3 Minute, 6 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Sempena dengan sambutan Pesta Kaamatan, Institusi Penjara Wanita Kota Kinabalu (PWKK) turut mempromosikan keunikan budaya etnik di Sabah dengan mengadakan pertandingan Unduk Ngadau dikalangan banduan wanita.

Peserta warga Kenya Priscilla (tengah).

Turut mencuri perhatian tetamu jemputan yang hadir ialah penampilan seorang peserta warga Kenya Priscilla (bukan nama sebenar), 34, yang cantik memakai pakaian baju tradisi suku kaum Lotud.

Fasih berbahasa Melayu, loghat percakapan seakan-akan seorang gadis dari suku kaum Dusun, Priscilla sangat ramah dan petah berbicara kepada tetamu yang hadir walaupun dia bukan rakyat tempatan di sini.

Priscilla turut berkongsi cerita pengalamannya sepanjang berada di PWKK kepada pemberita yang hadir semasa sambutan Program Jalinan Kasih Hari Raya dan Kaamatan Peringkat Penghuni Penjara Wanita Kota Kinabalu Tahun 2023 di Dewan Sekolah Integriti Wanita PWKK pada Sabtu.

Priscilla dijatuhkan hukuman dan dimasukkan ke PWKK sebagai banduan sejak tahun 2011 atas kesalahan menyeludup masuk ke negara ini sejumlah lima kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM1.3 juta.

Dia memberitahu dia telah diberkas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Terminal 1 dari Bandar Seri Begawan, Brunei dengan penerbangan Royal Brunei Air pada ketika itu.

Kes Priscilla disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Priscilla berkata, pada mulanya perasaan bercampur takut, risau dan sedih dengan keluarga yang tinggalkan namun setelah 12 tahun berada di PWKK selain belajar memperbaiki sahsiah diri dan latihan vokasional dia banyak mempelajari bahasa dan budaya etnik Sabah yang unik, ia menjadikan sebahagian dari rutin hariannya sekali gus melenyapkan kegusaran perasaan yang mengganggu pemikirannya.

“Mahkamah telah menjatuhkan hukuman selama 20 tahun penjara ke atas saya, jadi berbaki lapan tahun lagi saya berada di sini, saya banyak mempelajari bahasa dan budaya Sabah yang unik, ini mungkin akan menjadi satu lipatan kenangan buat saya di mana saya telah menganggap penghuni dan petugas di sini sebagai keluarga saya sendiri, saya akan merindui mereka bila tiba masanya nanti,” katanya.

Menurut Priscilla, tahun lalu dia memenangi gelaran ‘Miss Friendly’ semasa sambutan Pesta Kaamatan di PWKK dan tahun ini dia mendapat tempat ke-3 pertandingan Unduk Ngadau Peringkat PWKK.

Walaupun dia bukanlah dari masyarakat suku kaum Kadazan, Dusun, Murut tetapi dia tahu sejarah pesta Kaamatan yang diraikan itu.

“Saya ada kawan-kawan yang berbangsa Dusun di sini, merekalah yang menceritakan saya perayaan ini diraikan setiap bulan Mei dan penghujung bulan Mei iaitu acara kemuncak akan ada Ratu Unduk Ngadau yang dinobatkan,” jelasnya.

Ditanya mengenai keluarganya di Kenya, Priscilla memberitahu, dia ada menghubungi keluarganya setiap sebulan sekali sehinggakan dia tersasul menggunakan bahasa Melayu kepada adiknya yang selalu mengangkat panggilan telefon.

“Mana mama?,” kata Priscilla, dan talian diputuskan tanpa dijawab, adik saya tidak faham bahasa Melayu dan menyangka panggilan tersalah rumah,” katanya sambil ketawa.

Dalam pada itu, Priscilla juga pandai bertutur beberapa ayat dalam bahasa Dusun.

Sementara itu, Pengarah PWKK Kesumawati Ilas berkata, Jabatan Penjara Malaysia khususnya Penjara Wanita Kota Kinabalu akan terus konsisten dalam melaksanakan program pemulihan penghuni penjara seiring dengan reformasi jabatan ke arah Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusiaan sekaligus dapat membantu menjadikan negara lebih aman, tenteram dan sejahtera.

“Selain institusi ini menyediakan latihan vokasional sebagai usaha pemulihan banduan yang meliputi bidang kemahiran seperti bengkel jahit, dobi, katering dan bengkel bakeri, mereka (banduan) juga didedahkan dengan program-program seperti meraikan perayaan-perayaan yang terdapat di negara ini supaya mereka dapat mengukuhkan semangat kasih sayang dikalangan masyarakat malah berpeluang meraikan bersama keluarga tersayang secara bersemuka dan ini akan meningkatkan keyakinan diri mereka apabila sudah dibebaskan kelak,” katanya.

Program Pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Penjara Wanita Kota Kinabalu Tahun 2023 dan pemakaian mahkota Ratu UN serta penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Kebajikan Suria Datuk Raya Erom.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS usaha sebar luas pengetahuan berkaitan HIV AIDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular