HomeUtamaManfaat sepenuhnya penggunaan portal 'Sabah Jobs Portal'

Manfaat sepenuhnya penggunaan portal ‘Sabah Jobs Portal’

Read Time:2 Minute, 6 Second

Kota Kinabalu : Para pencari kerja khususnya di Sabah disaran untuk memanfaatkan sepenuhnya penggunaan portal ‘Sabah Jobs Portal’ (SJP) bagi mencari pekerjaan sesuai dengan kemahiran dan kelayakan mereka.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sehingga 9,322 orang pencari kerja dan 354 majikan yang menawarkan lebih kurang 600 kekosongan jawatan telah mendaftar dengan portal berkenaan.

Katanya, SJP merupakan portal pekerjaan di bawah JPSM yang menjadi medium untuk menghubungkan pencari kerja dengan majikan bagi meningkatkan usaha pencarian pekerjaan setempat.

Menurutnya,  portal itu membolehkan majikan membuat pengiklanan kekosongan jawatan secara percuma yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Sabah khusus untuk pencari kerja dalam sektor swasta. 

“SJP ini telah dilancarkan pada 28 Oktober 2021 selaras dengan program kerajaan ke arah membudayakan amalan ICT dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. 

“Portal ini adalah khusus untuk rakyat Sabah dan kekosongan jawatan yang diiklankan atau didaftarkan oleh pihak majikan adalah peluang kerjaya dari seluruh Malaysia,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikian Karnival Kerjaya Perdana Kota Kinabalu di sini hari ini.

Arifin yang juga Exco Pendidikan Sabah berkata, berdasarkan Laporan Pengoperasian Perkhidmatan Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setakat Disember 2022 lalu, seramai 1,332 penduduk Sabah telah dilaporkan kehilangan pekerjaan.

Katanya, bilangan penempatan pekerjaan di Sabah setakat bulan Disember 2022 adalah sebanyak 

32,660 orang. 

“Melalui Portal MuFutureJobs bagi tempoh Januari hingga Disember 2022 pula, seramai 52,657 pencari kerja yang aktif direkodkan bagi Negeri Sabah dan sebanyak 211,016 kekosongan jawatan telah diiklankan oleh lebih kurang 7,295 majikan yang berdaftar. 

“Pelbagai usaha telahpun dilakukan oleh pihak kerajaan, namun demikian, kita masih lagi belum berpuas hati dengan sambutan dalam kalangan pencari kerja. 

“Kita juga berharap kerjasama daripada pihak majikan dan industri pada masa akan datang sama ada di Sarawak atau Semenanjung perlulah dipertingkatkan dan diperluaskan lagi untuk kita sama-sama dalam menangani masalah pengganguran dan juga kehilangan pekerjaan di Negeri Sabah,”katanya.

Dalam pada itu, Arifin berkata, pembangunan modal insan merupakan faktor kritikal bagi menjana dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia. 

Katanya, ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi adalah penting untuk menyokong peralihan semua sektor ekonomi ke arah aktiviti berintensifkan pengetahuan, menjana produktiviti buruh dan menarik pelaburan ke Malaysia. 

“Penganjuran karnival kerjaya ini merupakan saluran terbaik untuk mengintai peluang pekerjaan yang disediakan secara bersemuka dan berinteraksi dengan para majikan yang hadir. 

“Ini disokong dengan pewujudan Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs dan Portal Pekerjaan Negeri Sabah iaitu Sabah Jobs Portal yang dilihat mampu melakukan padanan pekerjaan dengan lebih mudah dan berkesan, “katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Capital A Hantar Pelan Pemulihan kepada Bursa Malaysia untuk Keluar dari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular