HomeUtamaPerkasakan ekonomi rakyat dari semua aspek - Redonah

Perkasakan ekonomi rakyat dari semua aspek – Redonah

Read Time:3 Minute, 8 Second

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda menegaskan bahawa usaha memperkasa ekonomi rakyat khasnya dari golongan wanita perlu menjadi keutamaan, meliputi segala aspek kehidupan.

“Jika sebelum ini peranan wanita hanya dianggap sebagai pengurus rumah tangga dan keluarga, maka kini, ubah perspektif dan sudut pandang ini kerana wanita masa kini aktif dan menyumbang dalam segala bidang, termasuk perkembangan ekonomi di peringkat kampung, daerah, negeri, negara dan turut berkembang ke persada antarabangsa.

“Untuk tujuan itu, ekonomi rakyat kita perlu diperkasakan dan dimantapkan kerana wanita kini sama berjuang dan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan komuniti serta masyarakat,” katanya.

Menurut beliau lagi, mengurus institusi keluarga, berpendidikan, gigih berusaha dan bekerja keras untuk memantapkan ekonomi serta kestabilan keluarga di peringkat mikro sehingga ke peringkat makro yang lebih meluas, termasuk ekonomi negara, maka wajar wanita diiktiraf sebagai antara penyumbang penting untuk ekonomi rakyat terus stabil.

“Kita lihat pelbagai usaha dan inisiatif yang disediakan untuk memperkasa ekonomi rakyat, khasnya wanita yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak pemimpin terdahulu.

“Namun menurut statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWK), penglibatan wanita sebagai tenaga kerja masih rendah di negara kita jika dibanding dengan negara Asia Tenggara yang lain, iaitu 55.5 peratus pada tahun 2021, berbanding Singapura dan Thailand masing-masing 69.7 peratus dan 66.8 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Konvensyen Wanita Kerajaan Perpaduan 2023 di sini, hari ini.

Tambah Redonah lagi, antara faktor yang sering mengekang wanita untuk lebih aktif dalam perkembangan ekonomi secara lebih serius dan berskala besar adalah disebabkan oleh pemikiran dan pandangan masyarakat.

“Semua ini disebabkan oleh mindset masyarakat yang kita sedia maklum, masih berada di takuk yang lama, masih tidak terbuka untuk perubahan ke arah lain yang membawa manfaat kepada rakyat dan negara.

“Masih ramai diantara kita dan diluar sana dalam masyarakat serta komuniti yang menjadikan isu ketidaksamaaan gender sebagai satu perkara yang amat besar dan menghalang segala ruang serta peluang untuk wanita berkembang atau bergerak lebih jauh ke depan.

“Untuk kita maju dan bersaing dengan negara lain yang sudah jauh ke depan, kita perlu ubah mindset lapuk ini kerana sebuah kejayaan dalam mengerjar impian memerlukan perubahan serta keberanian,” tegasnya.

Dalam pada itu, Redonah turut memberitahu bahawa kerajaan turut bersetuju bagi mewujudkan Gender Focal Point dan Gender Focal Team di setiap kementerian dan agensi awam serta swasta sebagai satu langkah menormalisasikan gender dalam setiap perancangan dan aktiviti yang lebih sistematik.

“Rentetan daripada masalah ketidaksamaan gender dipandang sebagai isu yang masih menjadi penghalang kepada kaum wanita, Mesyuarat Majlis Sosial Negara bersama kerajaan bersetuju untuk Gender Focal Point dan Gender Focal Team.

“Saya secara peribadi, sebagai seorang wanita, seorang ibu dan seorang ketua yang membawa suara wanita-wanita yang bersama saya dalam perjuangan memantapkan dan memartabatkan kaum wanita dalam semua bidang termasuk ekonomi, pendidikan, keselamatan, kesihatan, teknologi, pembuatan, pertanian, perindustrian dan pengurusan, saya ingin kita ubah mindset dan jangan lihat perbezaan gender sebagai isu yang menyekat karya serta idea wanita.

“Saya amat berharap Gender Focal Point dan Gender Focal Team mampu direalisasikan dengan jayanya, insyaAllah,” katanya lagi.

Selain itu, Redonah berkata usaha memperkasa wanita juga memerlukan komitmen dan kolaborasi semua pihak tanpa membelakangkan sesiapa.

Katanya, untuk memastikan objektif itu tercapai, pusat latihan dan institusi kewangan wajar untuk memainkan peranan penting seperti mengadakan kursus dan seminar yang perlu dan berkaitan, terutamakan dalam usaha untuk memberikan pinjaman serta geran khas yang sepadan untuk kaum wanita yang berkecimpung dalam bidang ekonomi dan keusahawanan.

“Jika dapat diberikan pinjaman tanpa faedah, geran khas yang sepadan dan peluang serta ruang, saya amat yakin bahawa usahawan wanita kita di seluruh negara pasti mampu bangkit dan bersaing secara sihat, sekaligus membina peluang pekerjaan kepada masyarakat dan komuniti.

“Usaha ini akan mampu meningkatkan dan meluaskan penglibatan wanita dalam sektor pembangunan yang mana kesannya kepada pertumbuhan ekonomi negara juga akan positif,” ujar beliau lagi.

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Capital A Hantar Pelan Pemulihan kepada Bursa Malaysia untuk Keluar dari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular