Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan satu perkembangan positif amat signifikan – Armizan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 27 Second

KUALA LUMPUR: Penganjuran Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia ini merupakan platform yang amat penting dan dinanti-nantikan, kata Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Armizan Mohd Ali.

Armizan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) berkata, konvensyen ini memaknai Memorandum Persafahaman (MoU) Permuafakatan Kerajaan Perpaduan yang telah dimeterai pada 16 Disember 2022.

“Persefahaman yang dirintis oleh para pemimpin lima parti gabungan utama tersebut telah disemarak dan diperkukuhkan di peringkat pimpinan akar umbi melalui kebersamaan dalam konvensyen ini, dan turut disertai oleh rakan-rakan parti lain yang bersama membentuk Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 yang berlangsung di Dewan Merdeka, World Trade Centre, Kuala Lumpur hari ini (14 Mei).

Armizan melihat konvensyen ini merupakan satu perkembangan positif yang amat signifikan yang menghimpunkan semua tanpa memikirkan perbezaan politik.

“Ya benar apa yang dikatakan bahawa kami datang dari pelbagai perbezaan pendirian politik sejak sekian lama. Namun jika dilihat dari perspektif yang lain, saya fikir ini merupakan satu perkembangan positif yang amat signifikan.

“Kita tidak perlu terbelenggu dengan persepsi negatif yang cuba dibentuk oleh pihak tertentu, apatah lagi untuk merasa apologetik. Kita sebenarnya perlu berasa bangga kerana membuat pilihan yang tepat meletakkan perbezaan ketepi demi agenda besar.

“Rakyat dan negara ini memerlukan sebuah Kerajaan untuk melangkah ke hadapan pasca pandemik COVID-19 dan ketidakstabilan politik berpanjangan. Jangan berterusan mangsakan rakyat dengan pertikaian politik kita. Rakyat telah melaksanakan tanggungjawab mereka dalam pilihan raya, dan kini para ahli politik perlu menunaikan amanah dan fokus bekerja sehabis baik untuk rakyat.

“Kalau adapun yang menyifatkan kami dalam Kerajaan Perpaduan bernikah secara paksa, yang penting kita bernikah secara sah. Kadangkala bercinta selepas berkahwin jauh lebih bermakna,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *