HomeUtamaMA63 : Tanah gagal dimajukan agensi persekutuan di Sabah dan Sarawak akan...

MA63 : Tanah gagal dimajukan agensi persekutuan di Sabah dan Sarawak akan diambil semula

Read Time:1 Minute, 25 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Tanah milik Kerajaan Sabah dan Sarawak yang diberi kepada agensi persekutuan di dua buah negeri itu akan diambil semula jika ianya gagal dibangun atau dimajukan dalam tempoh lima tahun.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, konsep itu telah dipersetujui menerusi perundingan Sekretariat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di antara kerajaan Sabah, Sarawak dan Persekutuan.

“Menerusi sekretariat ini, kita membincangkan perkara-perkara yang lebih mudah contohnya yang berhubung kait dengan tanah dimana sebelum ini Kerajaan Persekutuan ada mengambil tanah untuk pembangunan tapi malangnya selepas lima tahun dan sebagainya tanah itu tidak dimajukan dan terbiar.

“Jadi dalam perundingan itu, dipersetujui secara dasar bahawa mana-mana tanah yang diambil oleh kerajaan persekutuan dan dibayar pampasan tapi tidak dimajukan setelah tempoh lima tahun maka ia kena dikembalikan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan Sabah dan Sarawak akan membayar balik pampasan mengikut kadar dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi dan sambutan Aidilfitri Lembaga Koko Malaysia (LKM), di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching dan Pengerusi LKM, Datuk Matbali Musah.

Fadillah yang juga Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berkata, dan sekiranya tanah terbabit sudah dibangunkan sebahagian sebelum terbiar, kos bagi membina infrastruktur dan sebagainya yang dibelanjakan akan dikembalikan.

Katanya, konsep pengambilan semula tanah itu sudah dipersetujui dan kini hanya menunggu mesyuarat teknikal untuk memuktamadkan rundingan.

“Sebelum ini sudah ditentukan pada mesyuarat teknikal tapi ditangguhkan kerana masih ada beberapa perkara yang belum dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan.

“Hal berkaitan tanah ini adalah antara perkara yang lebih mudah dimuktamadkan dalam rundingan MA63, selain beberapa lagi perkara lain yang masih dalam proses yang sama,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

SPRM Sabah tahan pasangan suami isteri bekas CEO & pengarah syarikat...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular