Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kota Kinabalu : Seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun dilaporkan mengalami kelesuan haba akibat cuaca panas yang berlaku di negeri ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, ia merupakan kes keempat yang direkodkan berkaitan cuaca panas selepas tiga kes strok haba dilaporkan sebelum ini.
Katanya, jumlah itu merupakan kes yang dilaporkan bermula 15 April hingga 18 Mei lalu.
“Terdapat pertambahan satu kes berkaitan cuaca panas iaitu seorang lelaki warga emas berumur 61 tahun yang bekerja sebagai juruelektrik, telah dimasukkan ke wad pada 17 Mei dan dibenarkan keluar pada 18 Mei selepas mendapatkan rawatan untuk kelesuan haba.
“Kes ini dirawat di sebuah hospital swasta. Gejala-gejala kelesuan haba adalah sakit kepala, pening, rasa mual, muntah, kelesuan, kekejangan otot, dan suhu badan meningkat, “katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Sebelum ini tiga kes strok haba dilaporkan melibatkan dua pelajar dan seorang wanita yang bekerja sendiri.
Ketiga-tiga pesakit ini telah selesai mendapatkan rawatan dan sembuh sepenuhnya.
Dr Rose Nani berkata, pihaknya menyeru agar masyarakat terus mengamalkan langkah-langkah untuk mengelakkan dehidrasi seperti banyak meminum air kosong dan memendekkan tempoh aktiviti di luar rumah.
Selain itu katanya, masyarakat juga perly berehat di tempat yang sejuk dan mempunyai pengudaraan yang baik, serta mengelakkan pakaian yang memerangkap haba.
“Segeralah berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan sekiranya mengalami tanda-tanda awal penyakit berkaitan cuaca panas.
“Nasihat kesihatan bagi krisis ini juga boleh diperolehi daripada Portal Rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia di laman sesawang http://www.myhealth.gov.my,”katanya. SABAH MEDIA