HomeEkonomiKUSKOP terus komited rancang dan laksana program pemantapan penjaja dan peniaga kecil

KUSKOP terus komited rancang dan laksana program pemantapan penjaja dan peniaga kecil

Read Time:2 Minute, 15 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) komited merancang dan melaksanakan lebih banyak program untuk membantu penjaja dan peniaga kecil mengembangkan perniagaan mereka.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, antara usaha yang telah dilaksanakan ialah merangka Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil (P3PK) 2023-2027.

“Saya percaya pelan ini mampu menyokong pertumbuhan serta pembangunan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara khususnya untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Pelan ini mengandungi lima teras strategik dan diperkukuhkan dengan 17 strategi serta 29 inisiatif yang diyakini mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan ekosistem perniagaan kumpulan penjaja dan peniaga kecil dari pelbagai bangsa iaitu Melayu, India, Cina, Bumiputera di segenap pelusuk negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Taklimat Perjalanan Menuju Kejayaan Siri 4 untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Skim Transformasi 2.0, di Hotel Le Meridien, di sini, semalam.

Program anjuran Yayasan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia (YPPKM) itu menghimpunkan lebih 200 wakil perniagaan dari negeri ini.

Ewon berharap pelaksanaan strategi dan inisiatif dalam P3PK dapat memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 86,000 penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.

Katanya, seiring dengan transformasi perniagaan ke arah pendigitalan dan adaptasi teknologi, KUSKOP menerusi agensi-agensinya seperti SME Corp., Bank Rakyat telah mewujudkan skim pembiayaan khas bagi perniagaan secara dalam talian.

“Begitu juga dengan program pembangunan kapasiti keusahawanan seperti Program Pendigitalan Penjaja dan Peniaga Kecil melalui platform MyMall dan Warongku

“Program-program itu dirangka khusus bagi membantu golongan penjaja dan peniaga kecil mendigitalkan perniagaan selaras perubahan perniagaan semasa pasca pandemik,” katanya.

Selain itu katanya, kementerian juga melaksanakan Program Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil bagi meningkatkan pengetahuan dan pendedahan berkaitan transformasi perniagaan.

“Diharapkan dengan adanya insentif pembiayaan serta program pembangunan kapasiti usahawan mikro/informal ini akan menggalakkan golongan penjaja dan peniaga kecil mentransformasi perniagaan mereka selaras dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030),” katanya.

Mengenai YPPKM, Ewon berkata, ia ditubuhkan untuk membantu penjaja dan peniaga kecil khususnya kaum Cina dengan tawaran pembiayaan perniagaan dengan kadar keuntungan serendah 4 peratus.

“YPPKM juga mempunyai pengalaman luas membantu melonjakkan perniagaan-perniagaan kecil melalui dana yang disalurkan daripada Kerajaan pusat untuk membantu usahawan dari kumpulan penjaja dan peniaga kecil berbangsa Cina,” katanya.

Beliau berkata, selain memberi pinjaman, YPPKM juga menyediakan pelbagai inisiatif membantu penjaja dan peniaga kecil terutama pengurusan kewangan.

“Pada 2017, YPPKM memperkenalkan Skim Transformasi Pinjaman menawarkan pembiayaan sehingga RM50,000 bagi membantu peniaga kecil mentransformasikan perniagaan mereka.

“Rentetan dari kejayaan skim tersebut, YPPKM pada hari ini melancarkan Skim Transformasi 2.0 yang ditambah baik bagi menyediakan kemudahan pinjaman tanpa memerlukan penjamin.

“Saya berharap penambahbaikan dan kelonggaran syarat pinjaman ini akan meningkatkan lagi jumlah permohonan pinjaman sekaligus memberi peluang kepada penjaja mengembangkan skala perniagaan mereka,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan curi kabel punca gangguan bekalan di Kinarut

Mahkamah Kota Kinabalu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular