Kota Kinabalu: Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) serta proses pemilihan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) bagi tempoh 2023-2027 yang diadakan pada 13 Mei lalu berjalan secara sah dan teratur mengikut perlembagaan.
Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom berkata, semua 33 ahli gabungan persatuan yang hadir pada kongres berkenaan sah dan layak untuk mengundi.
Katanya, perwakilan yang hadir juga sebulat suara menyokong agar kongres tahunan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu diteruskan.
“Semua perwakilan telah memberikan kerjasama yang begitu baik dalam memastikan perjalanan kongres berkenaan berjalan lancar.
“Kita juga menerima kehadiran Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai penasihat dan pemerhati daripada Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah dan Lembaga Sukan Negeri Sabah,”katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Sementara itu, David berkata, pihak SAFA sentiasa terbuka kepada sebarang teguran daripada mana-mana pihak terutamanya ahli gabungan SAFA Daerah.
Malah katanya, semasa kongres dijalankan, semua perwakilan juga telah diberikan ruang untuk mengemukakan pendapat serta menyuarakan pandangan masing-masing.
“Pihak pentadbiran SAFA tidak akan menjalankan segala urusan yang melanggar perlembagaan,” katanya. – SABAH MEDIA.