HomeUtamaDUN Sabah : Jaringan pengangkutan udara bantu tingkat industri pelancongan di Sabah

DUN Sabah : Jaringan pengangkutan udara bantu tingkat industri pelancongan di Sabah

Read Time:1 Minute, 36 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Peningkatan yang positif dalam jaringan pengangkutan udara khususnya di negeri ini mampu merancakkan lagi momentum industri pelancongan Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata, Kementeriannya komited untuk berbincang dan memperluaskan lagi hubungan kerjasama dengan syarikat penerbangan di negara yang berpotensi pada tahun ini.

“Setakat bulan Februari lalu, ketibaan pelancong ke negeri ini adalah berjumlah 366,988 orang berbanding dengan tahun lalu iaitu seramai 200,027 orang dalam tempoh yang sama menunjukkan peningkatan sebanyak 83.5 peratus berbanding tahun sebelum ini.

“Manakala bagi industri penerbangan pula, penerbangan domestik pada ketika ini telah mencatatkan sebanyak 396 penerbangan dalam seminggu daripada Kuala Lumpur, Johor Bharu, Penang, Kota Bharu, dan Sarawak.

“Manakala bagi penerbangan antarabangsa adalah sebanyak 93 penerbangan seminggu daripada negara Singapura, Taipei, Korea Selatan, Filipina dan beberapa wilayah di China,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Christina berkata, Sabah juga akan menerima perkhidmatan penerbangan terus daripada beberapa bandaraya di China lagi bermula bulan Jun ini.

Katanya, antara penerbangan tersebut ialah penerbangan Air Asia daripada Beijing sebanyak tiga kali seminggu bermula 02 Julai dan penerbangan Air Asia daripada Macau sebanyak empat kali seminggu mulai 16 Julai 2023.

“Selain itu, penerbangan daripada Guangzhou juga akan dimulakan bermula 01 Jun 2023 sebanyak tiga kali seminggu oleh China Southern Airlines,” katanya.

Dalam pada itu, Christina berkata, pelbagai inisiatif telah dan perlu dirancang terutama sekali dalam membangunkan produk-produk dan fasiliti pelancongan yang baharu terutama di kawasan-kawasan tumpuan para pelancong.

Katanya, ini adalah bagi memperkasakan industri pelancongan negeri ini serta sebagai persediaan ke arah Tahun Melawat Malaysia yang akan datang,

“Ini juga adalah sebagai satu usaha untuk menambah nilai dan meningkatkan kapasiti pelancong serta menjadikan kawasan tersebut sebagai destinasi pilihan yang mesti dilawati di negeri ini,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular