HomeUtamaDUN Sabah : Pindaan perlembagaan larang lompat parti adalah sejarah, tetapi kekalkan...

DUN Sabah : Pindaan perlembagaan larang lompat parti adalah sejarah, tetapi kekalkan Perkara 6 (7) 

Read Time:1 Minute, 56 Second

Kota Kinabalu:  Pindaan Perlembagaan Larangan Lompat Parti melakar sejarah namun Perkara 6 (7) dalam perlembagaan itu harus dikekalkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, ini kerana Perkara 6 (7) akan menjadi panduan kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah melantik Ketua Menteri.

“Rakyat Sabah kini boleh menarik nafas lega apabila Ketua Menteri (Datuk Haiji Haji Noor) membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) meminda Perlembagaan Negeri Sabah yang tidak membolehkan pertukaran parti selepas pilihan raya.

“Pindaan perlembagaan ini akan menyediakan ruang untuk pembentukan sebuah kerajaan yang lebih stabil. Itu sebabnya pada pagi ini saya sepatutnya di Dewan Rakyat menjawab soalan tetapi saya wakilkan kepada Timbalan dan hadir ke Dewan ini kerana mahu menjadi sebahagian daripada sejarah kita meluluskan pindaan perlembagan ini,” katanya ketika membahaskan RUU untuk meminda Perlembagaan Negeri Sabah, di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Sambil menyokong pindaan itu, Ewon berkata, ia sememangnya sesuatu yang sudah lama dinanti-nantikan oleh rakyat Sabah.

“Sudah tiba masanya kita lupakan yang lalu dan bermula hari ini dan pilihan raya akan datang, ini (pindaan perlembagaan larangan lompat parti) asas utama TYT melantik Ketua Menteri.

“Pindaan dan RUU harus menjadi panduan yang jelas kepada TYT untuk melantik siapa ketua menteri. Perundingan selepas pilihan raya dengan adanya RUU ini, saya fikir masih dibolehkan dengan syarat ia harus jelas sebagai panduan kepada TYT melantik ketua menteri,” katanya.

Beliau berkata, pemansuhan dan pembatalan Perkara 6 (7) tidak perlu, sebaliknya ia harus dikekalkan.

“Pilihan raya diadakan secara demokratik, mana-mana parti atau gabungan yang menang majoriti dalam konteks jumlah sekarang 73 kerusi DUN kawasan yang dipertandingkan, kita harus memenangi sekurang-kurangnya 37 kerusi DUN untuk diiktiraf sebagai parti atau gabungan yang menang majoriti. 

“Gabungan yang bertanding dan menang sekurang-kurangnya 37 kerusi itu adalah gabungan atau parti yang menang majoriti.

“Ketua parti atau gabungan itu harus menjadi ketua menteri, sebab itulah ia diletakkan dalam Perkara 6 (7) sebagai panduan kepada TYT untuk melantik ketua menteri,” katanya.

Ewon berkata, dalam keadaan di mana tidak ada parti yang memenangi majoriti maka gabungan atau parti berkenaan masih boleh mengadakan perundingan.

“Saya menyokong RUU ini dalam masa yang sama saya cadangkan kepada ketua menteri dan kerajaan supaya tidak meneruskan pembatalan pindaan perkara 6 (7), kekalkan di situ. Ianya sesuatu yang sangat baik sebagai panduan TYT melantik ketua menteri,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Warga emas wanita rentung dalam kebakaran rumah di Kg Muhibbah, Ranau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular