DUN Sabah : Lima notis dikeluarkan kepada syarikat minyak sawit gagal isytihar cukai kepada Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 42 Second

Kota Kinabalu : Sebanyak lima notis taksiran dikeluarkan kepada syarikat minyak sawit terlibat melibatkan 53.75 peratus pembayaran cukai minyak sawit yang tidak diisytiharkan kepada Kerajaan Negeri.

Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun, sehingga kini Sabah telah menerima sebanyak RM 4 juta dan ianya diberi peluang pembayaran menerusi skim ansuran.

“Kita telah mengeluarkan lima notis taksiran melibatkan 53.75 % kepada mereka yang ‘under declare’ cukai kelapa sawit yang sepatutnya dibayar kepada Kerajaan.

“Yang telah dibayar sekarang adalah RM4 juta, tapi kami memberi peluang kepada syarikat terlibat membayar balik secara ansuran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Calvin Chong pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

Shafie dan Calvin bertanyakan soalan mengenai faedah yang diterima Sabah daripada syarikat kelapa sawit yang tersenarai dan berpangkalan di Semenanjung yang mempunyai ladang kelapa sawit yang besar di negeri ini.

Masidi berkata, Sabah juga akan mencari jalan untuk meraih lebih banyak faedah daripada syarikat minyak sawit terlibat bagi menambah pelaburan di negeri ini.

Katanya, Sabah juga mahu menerima pendapatan dan keuntungan sama dari syarikat berkenaan apabila melaksanakan pelaburan di negeri ini.

“Ya, kita mesti mencari jalan untuk meluaskan asas pendapatan kita, kerana ladang-ladang gergasi ini berpangkalan di Kuala Lumpur, dan cukai mereka diisytiharkan di Kuala Lumpur, jadi apa yang mereka bayar kepada kita, tidak ada apa-apa.

“Sepatutnya, kita juga harus mendapat manfaat daripada keuntungan yang mereka perolehi daripada tanah kita. Saya bersetuju dengan Senallang bahawa mereka harus berbuat lebih banyak untuk masyarakat setempat.

“Orang ramai mahu mengaut keuntungan sepanjang masa tetapi memberi sumbangan minimum kepada masyarakat yang berkhidmat kepada mereka,” katanya.

“Kami (Kementerian Kewangan) bekerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Percayalah, kami akan dapat mengutip semua cukai tertunggak, dan jumlahnya sangat tinggi,” katanya.

Beliau berkata, kementerian kekurangan kakitangan dalam bahagian kutipan cukai minyak sawit, dan masalah itu akan ditangani kerana ia melibatkan jumlah wang yang besar berbilion ringgit.

“Bagaimanapun, urusan kita adalah bagi memastikan dalam apa juga keadaan Sabah tidak rugi dari industri minyak di negeri ini,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *