Oleh Normimie Diun
TAWAU: AuMAS Resources Berhad menyalurkan sumbangan berjumlah RM50,000 bagi kerja-kerja pembaikan bangunan tambahan ruang solat di Masjid Al Firdaus, Kampung Balung Cocos, di sini, yang mengalami kerosakan akibat ribut pada Oktober lalu.
Majlis penyerahan sumbangan itu diadakan di masjid berkenaan pada Jumaat sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif AuMAS, Chong Tzu Khen berkata, program CSR berkenaan merupakan komitmen syarikat untuk terus menyumbang kepada masyarakat setempat, khususnya di kawasan sekitar operasi perlombongan syarikat.
Beliau berkata, pihaknya bukan sahaja mahu membantu komuniti, malah memperkukuhkan hubungan dengan penduduk dan pekerja di kawasan terlibat.
“Program ini memberi fokus kepada kebajikan masyarakat dan tanggungjawab sosial syarikat, selain menyokong aktiviti yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.
“Kami sebelum ini turut melaksanakan beberapa program CSR lain dan akan terus mempertimbangkan bantuan berdasarkan keperluan serta kawasan operasi projek syarikat,” katanya ketika ditemui media selepas majlis berkenaan.
Menurutnya, Kampung Balung dipilih kerana terletak berhampiran kawasan operasi lombong emas syarikat, selain komuniti di kawasan itu masih memerlukan bantuan.
Katanya, AuMAS juga merancang melaksanakan program CSR di Kampung Ranggu serta kawasan lain yang berkaitan dengan projek eksplorasi syarikat.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Al Firdaus, Azeman Rasley, berkata pihak masjid amat bersyukur apabila permohonan bantuan yang dikemukakan kepada syarikat itu diluluskan dalam tempoh singkat.

Beliau berkata, sumbangan itu akan digunakan untuk membaik pulih awning masjid yang rosak selepas dihempap pokok akibat angin kencang lebih setahun lalu.
“Setiap kali ada majlis atau sambutan hari raya, kami terpaksa menyewa kanopi kerana awning masjid rosak.
“Alhamdulillah, bantuan daripada AuMAS ini dapat menyelesaikan masalah yang kami hadapi dan membolehkan kerja pembaikan dilakukan secepat mungkin,” katanya.
Azeman berkata, masjid yang berusia lebih 20 tahun itu memerlukan banyak kerja pembaikan kerana keadaan bangunan yang semakin uzur.
Menurutnya, setakat ini pihak masjid belum menerima sumbangan besar daripada mana-mana pihak lain dan amat menghargai bantuan yang diberikan syarikat berkenaan.
Katanya, Masjid Al Firdaus menjadi pusat tumpuan penduduk Kampung Balung Cocos dengan kehadiran jemaah mencecah antara 400 hingga 500 orang setiap solat Jumaat, manakala jumlah itu meningkat sehingga ribuan orang ketika sambutan Aidiladha dan Aidilfitri.
Hadir sama pada majlis itu Pengerusi AuMAS Dr Frederick Chong, Pengurus Besar, Adji Prihananto (Pak Adji), Presiden Persatuan Balung Cocos Sabah, Alipa Jackery dan Ahli Jawatan Kuasa Masjid Al Firdaus.



