HomeUtamaPeranan guru diperkasa seiring aspirasi pendidikan negara – Arif Sakaran

Peranan guru diperkasa seiring aspirasi pendidikan negara – Arif Sakaran

Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Peranan guru perlu terus diperkasa selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 dalam usaha melahirkan generasi yang berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti Sekolah Sabah (PIBKS), Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, guru merupakan tunjang utama sistem pendidikan negara kerana mereka bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membentuk sahsiah serta nilai murni dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata, tema sambutan Hari Guru 2026, ‘Guru Bitara, Nadi Negara’, amat bertepatan dalam mengiktiraf peranan besar warga pendidik dalam mencorakkan masa depan negara.

“Guru memainkan tanggungjawab yang sangat besar dalam melahirkan modal insan berkualiti. Mereka adalah pembimbing yang membentuk generasi yang akan menerajui negara pada masa hadapan.

“Dalam menghadapi perubahan dunia pendidikan yang semakin dinamik, guru terus menunjukkan komitmen, kesabaran dan pengorbanan yang tinggi demi memastikan setiap anak mendapat pendidikan terbaik,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Guru 2026.

Arif berkata, pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 akan membuka ruang lebih luas untuk memperkasa profesion keguruan melalui peningkatan kemahiran, penggunaan teknologi serta pengukuhan kaedah pengajaran yang lebih berkesan.

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan guru sentiasa bersedia menghadapi cabaran semasa dan mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga mempunyai jati diri yang kukuh.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa dan komuniti melalui PIBKS akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pendidikan negara.

“Pendidikan adalah tanggungjawab bersama. Apabila guru, ibu bapa dan komuniti berganding bahu, kita dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan berkesan untuk anak-anak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas jasa, dedikasi dan pengorbanan yang tidak ternilai dalam mendidik serta membentuk masa depan negara.

“Terima kasih cikgu. Jasa dan pengorbanan anda sentiasa dihargai dan akan terus dikenang,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Masidi terima kunjungan hormat delegasi Kinara Energy, Shandong Yingbao

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular