Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kota Kinabalu : Seramai 72 jurulatih bola sepak bagi lesen D dan 390 jurulatih akar umbi di Sabah berjaya dihasilkan dalam tempoh dua tahun lalu menerusi kursus kejurulatihan yang diadakan di beberapa daerah di negeri ini.
Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Omar Maya Amat berkata, semua kursus kejurulatihan itu merupakan anjuran SAFA dengan kerjasama Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Katanya, Sabah juga mempunyai seorang jurulatih pembimbing selain empat lagi jurulatih bimbingan akar umbi yang dilantik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Jumlah jurulatih lesen D dan jurulatih akar umbi yang dapat dihasilkan dalam tempoh itu penting bagi menjayakan program pembangunan bola sepak di negeri ini.
“Kita juga berjaya melahirkan 15 jurulatih penjaga di samping mengadakan kursus ‘refresher’ untuk 18 jurulatih penjaga dalam masa dua tahun itu,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Omar berkata, seramai 64 jurulatih futsal termasuk 44 peringkat tahap satu dan 20 jurulatih tahap dua turut berjaya dilahirkan.
Katanya, SAFA memberi penekanan terhadap usaha untuk melahirkan lebih ramai jurulatih bertauliah bagi memastikan program pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Sebenarnya SAFA juga merancang untuk menganjurkan kursus kejurulatihan yang berkelas tinggi seperti lesen B namun kita perlu memberi keutamaan lesen D dan akar umbi di peringkat awal ini,” katanya.
Sementara itu, mengenai pembangunan pertandingan, Omar menjelaskan sepanjang tempoh dua tahun lalu, SAFA juga telah berjaya menganjurkan kejohanan bola sepak bawah umur 18 tahun Piala BMR, kejohanan Piala Ketua Menteri, liga bola sepak wanita nasional peringkat Sabah dan Piala SAMORA B11 dan B12.
Katanya, program dan aktiviti SAFA akan dijalankan secara berterusan sejajar dengan usaha untuk memajukan sukan bola sepak di negeri ini.
“Ketika ini, SAFA tidak mengendalikan pasukan tetapi fokus kita adalah untuk menjayakan program pembangunan supaya sukan bola sepak akan terus berkembang dan berkualiti,” katanya. – SABAH MEDIA