KOTA MARUDU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun cedera parah digigit sekumpulan anjing liar dalam satu kejadian di kawasan lapang, Jalan Mampakad Laut, Pitas dekat sini pada Rabu (7 Jun).
Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintenden Zairolnizal Ishak mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut pada 8.24 pagi semalam.
Menurutnya, laporan polis dibuat pengadu menyatakan telah menyelamatkan dan merujuk satu mangsa kanak-kanak lelaki lingkungan empat tahun (mangsa) ke Hospital Pitas akibat cedera digigit sekumpulan anjing liar.
“Pengadu merupakan orang awam yang melalui tempat kejadian menyatakan pada hari yang sama jam lebih kurang 6.05 pagi semasa bersama suaminya menaiki motosikal menuju ke Dataran Bengkoka, pengadu telah melihat beberapa ekor anjing anggaran enam hingga tujuh ekor sedang menyalak, berkerumun serta sedang mengigit sesuatu.
“Pengadu kemudian menghampiri dan melihat seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan tertiarap tanpa pakaian dan berlumuran darah sedang digigit oleh kumpulan anjing tersebut.
“Pengadu kemudian memanggil suaminya untuk menghalau kumpulan anjing dan mengangkat mangsa. Pengadu kemudian terus menghantar mangsa ke Hospital Pitas untuk rawatan lanjut,” kata Zarolnizal dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Zaironizal, siasatan yang diperolehi daripada saksi kejadian mendapati anjing yang menyerang mangsa merupakan anjing liar yang sering berkeliaran di kawasan tersebut dan di Dataran Bengkoka.
Katanya, kejadian anjing liar menyerang manusia merupakan kejadian kali pertama berlaku di kawasan tersebut.
Sementara itu, kata Zairolnizal pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat banyak kesan gigitan dan cakaran anjing di seluruh anggota badan mangsa.
“Mangsa dikenali sebagai Muhamad Dhan Rezdey Ruddy kini dirujuk di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas untuk rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Zairolnizal lagi, hasil siasatan lanjut semasa kejadian, ibu mangsa telah keluar rumah untuk bekerja di Indah Chelat dengan berjalan kaki dan ibu mangsa meninggalkan anaknya (mangsa) di rumah di bawah jagaan neneknya.
“Mangsa kemudiannya menyusul dari belakang tanpa pengetahuan ibunya serta nenek sebelum digigit anjing liar tersebut.
“Sehubungan dengan itu, siasatan masih diteruskan dan disusuli tindakan lanjut oleh Majlis Daerah Pitas dan Jabatan Veterinar,” katanya.