HomeUtamaKeracunan Metanol : JKNS pantau keadaan pelajar terlibat

Keracunan Metanol : JKNS pantau keadaan pelajar terlibat

Read Time:1 Minute, 50 Second

Kota Kinabalu : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) hari ini mengesahkan seramai 20 pelajar lelaki berusia 13 hingga 17 tahun di sebuah sekolah menengah di Pitas dilaporkan mengalami keracunan metanol. 

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Asits Sanna berkata, hasil siasatan awal mendapati semua mangsa yang tinggal di asrama mempunyai sejarah mengambil minuman berkarbonat yang dibancuh bersama dengan cecair spirit dipercayai mengandungi metanol.

Katanya, kejadian itu dilaporkan berlaku pada Selasa lalu kira-kira jam 2.30 petang. 

“Onset terawal kes adalah pada hari Selasa lalu jam 8 malam manakala onset terakhir adalah pada hari Khamis (semalam) jam 6.30 petang. 

“Sebanyak lapan kes atau 40 peratus mengalami gejala seperti lemah badan, sakit perut, muntah, kabur penglihatan, dan pening kepala. Manakala, 12 kes lagi atau 60 peratus tidak mengalami sebarang gejala,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Asits berkata, semua kes telah mendapatkan rawatan awal di Hospital Pitas dan daripada lapan kes yang bergejala, sebanyak dua kes telah didapati semakin merosot keadaan kesihatannya dan memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, kedua-dua kes masing-masing telah dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan ICU Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) semalam. 

“Sebanyak lima kes lagi telah dihantar ke HQE pada hari yang sama untuk rawatan lanjut dan satu kes masih  dirawat di Hospital Pitas.

“Manakala 12 kes yang tidak bergejala telah dimasukkan ke dalam wad Hospital Pitas untuk pemantauan dan rawatan seterusnya. Sampel-sampel berkaitan telah diambil untuk pengesahan kehadiran metanol termasuklah darah, urin, dan sampel proksi spirit. Punca kejadian masih dalam siasatan,”katanya.

Dalam pada itu, Dr Asits berkata, pihaknya akan sentiasa memantau keadaan mangsa yang terlibat.

Katanya, JKNS juga akan turut bekerjasama dengan pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pitas bagi menjalankan siasatan lebih lanjut.

Katanya, langkah-langkah yang perlu juga akan turut diambil bagi mengelakkan kejadian ini berulang.

Sementara itu, Dr Asits berkata, JKNS turut menasihati orang ramai berkenaan bahayanya mengambil minuman beralkohol yang tidak sah dan tercemar.

“Sekiranya mengalami tanda-tanda keracunan metanol seperti sakit perut, muntah, sakit kepala atau kabur penglihatan selepas pengambilan minuman beralkohol, sila dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan yang terdekat, “katanya.- SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular