HomeUtamaUTP dinobatkan juara Pertandingan Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM

UTP dinobatkan juara Pertandingan Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM

Read Time:1 Minute, 49 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Pasukan debat daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP) berjaya dinobatkan sebagai juara Pertandingan Debat Antirasuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2023 di sini semalam.

Pasukan UTP itu berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM12,000 manakala pasukan debat mewakili Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) muncul naib juara dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM6,000.

Pendebat terbaik keseluruhan berjaya dimenangi Muhammad Iman Azhar dari UKM dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dan pendebat terbaik akhir dimenangi Nur Izzah Nasuha Zulmuksah dari UTP dengan membawa pulang wang tunai RM1,500.

Objektif penganjuran pertandingan ini adalah untuk membentuk mahasiswa agar sentiasa peka dengan keadaan semasa dan berani menyuarakan pendapat berkaitan isu rasuah. 

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan turut dihadiri Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor.

Azam ketika berucap berkata, masyarakat perlu dibentuk supaya patuh kepada undang-undang agar negara menjadi sebuah negara yang aman dan bebas dari rasuah, berdisiplin serta berintegriti tinggi.

Katanya, para mahasiswa perlu didekati oleh SPRM dalam melahirkan masyarakat yang berintegriti supaya tidak mengalami kejutan budaya serta terdedah kepada kandungan-kandungan yang negatif.

Menurutnya, ia termasuklah mencari pendapatan yang lumayan dengan cara singkat yang pada akhirnya terjebak dalam perbuatan jenayah yang memungkinkan berlaku implikasi perundangan. 

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, UMS amat berbesar hati kerana telah dilantik menjadi tuan rumah Pertandingan Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi tahun 2023. 

“Sesungguhnya, kita mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama yang memberikan manfaat kepada usaha memperkasa pelajar di universiti. Tahniah diucapkan kepada pihak SPRM kerana sentiasa menyokong dan menganjurkan Pertandingan Debat Antirasuah.

“Tema usul perdebatan yang dibahaskan adalah berkaitan isu-isu rasuah dan integriti. Pertandingan debat ini adalah medan terbaik untuk mengulas isu penting yang sentiasa menjadi sebutan di negara kita,” katanya. 

Terdahulu, sebanyak 40 pasukan dari pelbagai institusi pendidikan terdiri daripada universiti awam, universiti swasta, Institut Pendidikan Guru, Institusi Pendidikan MARA, serta politeknik mengambil bahagian dalam Pertandingan Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2023 yang diadakan pada 2 hingga 8 Jun 2023. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular