Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Lahad Datu : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot pam lebih kurang dua batu nautika di kawasan perairan Pulau Tabawan, Kunak semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, dalam operasi yang dilaksanakan pihaknya berjaya mengesan sebuah bot pam berwarna kelabu dalam keadaan mencurigakan lebih kurang jam 5 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 26 (menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya).
“Selain itu, kita juga turut menahan dua lelaki berbangsa Bajau Laut (tiada dokumen) berusia 22 dan 38 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nik Mohd Rizam berkata, kedua-dua mereka serta bot ditahan dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
Katanya, turut dirampas sebuah enjin bot, sebuah kompressor, dan dua botol bom ikan.
“Komuniti maritim terutamanya di Sabah diingatkan agar tidak melakukan aktiviti bom ikan ini kerana aktiviti ini bukan sahaja salah disisi undang-undang laut negara malah membawa kesan negatif kepada ekosistem laut dan juga membahayakan nyawa pelaku serta mereka yang sedang melakukan aktiviti menyelam.
“Zon Maritim Lahad Datu akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan Lahad Datu,” katanya.
Katanya, orang ramai khususnya komuniti maritim diminta untuk bekerjasama menyalurkan maklumat ataupun aduan ke Zon Maritim Lahad Datu yang beroperasi 24 jam di talian 089-885727 atau MERS 999. – SABAH MEDIA