Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Keningau : Semua pihak perlu memainkan peranan dalam menyalurkan maklumat sahih selain melaporkan salah laku yang berlaku dalam komuniti.
Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Robert Tawik berkata, komuniti setempat juga perlu peka dan prihatin terhadap jenayah siber yang turut memperdaya golongan yang lalai.
“Program SMART VILLAGE anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) menjadi platform kepada peserta menambah ilmu pengetahuan dan menambah kemahiran mengelak daripada terpedaya atau terjebak dengan jenayah siber.
“Saya berharap lebih banyak program seumpama ini akan dilaksanakan terutama di kawasan pedalaman bagi memastikan pendidikan dan intervensi yang lebih berkesan dilaksanakan supaya isu ini dapat ditangani secara holistik dan kolektif,” katanya,
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program SMART VILLAGE: Bengkel Keselamatan Siber di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor, di sini, hari ini.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkot berkata, program itu juga adalah komitmen Kerajaan dalam usaha mencegah, mendidik dan membanteras jenayah siber.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah J-KOM (Pengurusan), Zamri Yusof berkata, menerusi penglibatan 200 peserta kali ini adalah menjadi permulaan terbaik untuk terus memastikan penganjuran program ini dapat memberikan kesan kepada komuniti setempat.
“Saya tidak mahu komuniti di sini menjadi sebahagian daripada statistik kes penipuan siber yang seolah-olah tiada penghujungnya.
“Oleh itu, pendidikan mengenai keselamatan siber ini wajar diberikan kepada semua termasuk komuniti di sini, dengan harapan kita semua ilmu yang diperolehi ini dapat menjadi benteng untuk sentiasa berwaspada ketika berurusan dalam dunia digital,” kata beliau yang mewakili Ketua Pengarah J-KOM Malaysia.
Program tersebut merupakan anjuran J-KOM Zon Sabah buat julung kalinya.
Hadir sama wakil Pegawai Daerah Keningau, Easter Micheal Sutili, Guru Besar SK Bingkor Keningau, Madalina Juanis, Pengarah Penyelidikan dan Perancangan Program, Kazidi Mohd. Zainuddin dan Pegawai Penyelia J-KOM Zon Sabah, Dr Diana Dominic.- SABAH MEDIA