HomeSukanLebih 3,500 peserta dijangka sertai 'KKCity XMultisport 2023'

Lebih 3,500 peserta dijangka sertai ‘KKCity XMultisport 2023’

Read Time:2 Minute, 6 Second

Kota Kinabalu : Lebih 3,500 peserta dijangka akan menyertai pertandingan ‘KKCITY XMULTISPORT 2023’ selama empat hari bermula 9 November depan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata, program itu juga bakal memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan di negeri ini.

Antara negara yang bakal menyertai pertandingan itu termasuklah peserta dari Singapura, Indonesia, Filipina, China, Thailand, Taiwan, Korea Selatan, Eropah dan Malaysia serta beberapa negara lain.

“Sudah tentu acara seumpama ini akan menjadi produk pelancongan sukan kepada Sabah dengan harapan kejayaan dikecapi membolehkan ia dijadikan sebagai acara tahunan.

“Kementerian ini akan menjadi penaja utama dan rakan penganjuran kepada kesemua acara yang dipertandingkan dengan hadiah wang tunai berjumlah RM104,000 keseluruhan akan menanti pemenang.

“Selain itu, semua peserta yang mendaftar berpeluang untuk memenangi cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama berupa Perodua Axia 2023 1.0X (CVT) dan hadiah keseluruhan bernilai RM60,000,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Antara acara yang bakal diadakan adalah Triathlon, Duathlon dan KKCITY Neon Run.

Christina berkata, sehingga kini seramai lebih 200 peserta dari dalam dan luar negara telah mendaftar sejak pendaftaran dibuka dua minggu lalu.

“Kita menjangkakan seramai lebih 3,500 peserta akan menyertai sukan ini. Selain menawarkan pengalaman sukan yang menarik kepada para peserta, destinasi pelancongan di Sabah juga dijangka akan menerima impak positif.

“Saya gembira dengan penganjuran sukan ini kerana ia sekali gus memperkenalkan imej Sabah di mata dunia,” katanya.

Christina berkata, penganjuran seumpamanya juga salah satu usaha kementeriannya untuk memperkenalkan produk pelancongan sukan sebagai nilai tambah kepada pakej pelancongan sedia ada di Sabah.

Katanya, kerajaan juga mahu meningkatkan imej Sabah sebagai destinasi menarik untuk penganjuran sukan antarabangsa.

“Impak daripada penganjuran ini sangat besar kerana ianya akan memperkasakan ekonomi negeri menerusi industri pelancongan, sektor perhotelan, makanan dan minuman serta pengangkutan.

“Peserta yang datang bukan sahaja menyertai sukan ini tetapi juga berpeluang untuk berkunjung ke destinasi-destinasi pelancongan utama Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, laluan untuk Triathlon (berenang, berbasikal dan berlari) bermula di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) yang mana peserta dikehendaki berenang sejauh 750 meter.

Peserta kemudian akan berbasikal sejauh 20 kilometer sehingga ke Menara Kinabalu, berlari sejauh lima kilometer dan tamat di SICC.

Duathlon akan memberikan cabaran kepada peserta untuk berlari sejauh lapan kilometer, berbasikal 40 kilometer dan berlari semula empat kilometer di lokasi yang sama.

Sementara itu, KKCITY Neon Run akan diadakan sebelah malam dan lokasinya dijangkakan di Kompleks Sukan Likas sejauh 3.5 kilometer sahaja.

Para peminat boleh melayari WWW.XMULTISPORT.COM untuk mengetahui lebih lanjut maklumat mengenai yuran penyertaan dan sebagainya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Veteran kekal aktif hayun raket di usia emas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular