HomeUtamaPeniaga diingatkan jangan jual bahan berbahaya kepada individu bawah umur

Peniaga diingatkan jangan jual bahan berbahaya kepada individu bawah umur

Read Time:1 Minute, 20 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Peniaga khususnya di kawasan luar bandar diingatkan agar tidak menjual minuman beralkohol termasuk bahan pelarut organik seperti metanol atau ‘spirit’ kepada golongan pelajar.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib berkata, pihaknya juga turut memberi amaran keras kepada peniaga yang didapati menjual barangan tersebut secara terbuka.

“Saya telah melawat salah satu pesakit yang dilaporkan mengalami keracunan metanol dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2 hari ini (semalam).  Saya difahamkan keadaan pelajar kritikal.

“Jadi saya meminta agar pihak berkuasa khususnya pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) agar memantau penjualan barangan berbahaya ini khususnya diluar bandar.

“Saya juga difahamkan, para peniaga tidak meletakkan label produk dengan jelas dan ianya boleh mengelirukan pengguna yang cuba untuk membeli produk berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat keluarga pelajar yang dilaporkan mengalami keracunan metanol di HQE2 di sini semalam.

James yang juga Menteri bertanggungjawab kepada hal ehwal pengguna di Sabah berkata,  bahan berbahaya berkenaan juga tidak sewajarnya dijual secara terbuka.

“Justeru itu saya memberi amaran keras kepada semua peniaga yang menjual ‘spirit’ metanol ini supaya jangan sewenang-wenangnya menjual produk ini dengan begitu mudah.

“Saya minta KPDN agar mengambil tindakan tegas kepada peniaga yang masih menjual produk ini secara terbuka,” katanya.

Jumaat lalu, seramai 20 pelajar lelaki berusia 13 hingga 17 tahun di sebuah sekolah menengah di Pitas dilaporkan mengalami keracunan metanol. 

Hasil siasatan awal mendapati semua mangsa yang tinggal di asrama mempunyai sejarah mengambil minuman berkarbonat yang dibancuh bersama dengan cecair spirit dipercayai mengandungi metanol. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

DBKK benarkan Taman Perdana Tanjung Aru beroperasi semula

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular