HomeUtamaTindakan tatatertib terhadap pegawai atau anggota tidak capai standard laksana penyiasatan kes...

Tindakan tatatertib terhadap pegawai atau anggota tidak capai standard laksana penyiasatan kes – Jauteh

Read Time:1 Minute, 34 Second

KOTA KINABALU: Polis akan mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai atau anggota yang tidak mencapai standard dalam melaksanakan siasatan berhubung mangsa dan keluarga mangsa ada membuat laporan polis mengenai ugutan tertuduh sehari sebelum berlakunya kejadian kes pembunuhan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun mengesahkan mangsa bersama keluarganya ada membuat laporan polis sebelum hari kejadian.

“Memang betul ada laporan polis mangsa dan ahli keluarganya sehari sebelum kejadian berkenaan dan kita sedang menyiasat apa tindakan yang telah diambil oleh pegawai dan anggota yang telah menerima laporan berkenaan.

“Dan sekiranya tindakan mereka (pegawai dan anggota) ini tidak mencapai kepada standard yang harus dilaksanakan maka siasatan dari sudut tatatertib akan kita ambil,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan (Jun) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah Tahun 2023 di Dataran Kawad, Kepayan di sini hari ini.

Perkara tersebut adalah berkaitan dengan kes pembunuhan pekerja wanita Nurul Ain Silien, 22, yang mati ditikam dalam kejadian di sebuah pusat membeli belah pada 29 Mei lalu.

Ibu mangsa, Datuk Siti Aminah Jabar Khan (kanan) bersama Peguam Pemerhati Nabila Norsahara ketika ditemui pemberita di luar perkarangan Mahkamah Kota Kinabalu semalam.

Terdahulu, ibu mangsa, Datuk Siti Aminah Jabar Khan ada membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing kira-kira jam 12.30 tengahari selepas hadir mendengar pendakwaan terhadap tertuduh Chung King Fung, 32, di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu semalam.

Beliau membuat laporan polis selepas tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa menangani laporan polis yang dibuat sebelum pembunuhan itu berlaku.

Sementara itu, Peguam Pemerhati keluarga mangsa, Nabila Norsahara berkata, keluarga mangsa sebelum ini memang ada membuat laporan polis berkenaan dengan gangguan dan ugutan tertuduh kepada mangsa pada 28 Mei sehari sebelum kejadian pembunuhan.

“Tertuduh mengugut mangsa kerana tidak berpuas hati mangsa mahu memutuskan hubungan mereka.

“Bagaimanapun tiada tindakan susulan dari pihak polis mengenai laporan ugutan tersebut sehingga keesokan harinya iaitu 29 Mei, berlaku kejadian pembunuhan mangsa (Nurul Ain) oleh tertuduh,” kata Nabila.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah dijangka alami hujan berterusan mulai Sabtu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular