HomeUtamaTuntutan Sulu : Enam Ahli Parlimen GRS sokong ketegasan Perdana Menteri

Tuntutan Sulu : Enam Ahli Parlimen GRS sokong ketegasan Perdana Menteri

Read Time:2 Minute, 11 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Strategi dan pendekatan berkesan yang diambil Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam menangani isu tuntutan daripada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu adalah amat dihargai.

Enam Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam kenyataan bersama turut menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mengambil tindakan jenayah berdasarkan undang-undang kepada mana-mana pihak yang membelakangkan kepentingan dan keselamatan negara.

Ahli-Ahli Parlimen GRS yang menyokong ketegasan Perdana Menteri itu Ahli Parlimen Keningau Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan; Datuk Armizan Mohd Ali (Papar) ; Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi); Datuk Jonathan Yasin (Ranau); Datuk Matbali Musah (Sipitang) dan Lo Su Fui (Tawau).

“Sebagaimana yang dibentangkan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam, terkini Mahkamah Rayuan Perancis telah membuat keputusan untuk membatalkan Perintah Pelaksanaan (“Exequatur”) yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Paris pada 29 September 2021 yang mengiktiraf Preliminary Award yang dikeluarkan pada 25 Mei 2020.

“Kami juga menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri yang menyatakan bahawa Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jenayah menurut undang-undang terhadap mana-mana pihak termasuk warganegara Malaysia yang membelakangkan kepentingan dan keselamatan negara.

“Ini termasuklah dengan memberikan sebarang sokongan, bantuan secara langsung mahupun tidak langsung dan bersekongkol dengan pihak yang membuat tuntutan,” menurut kenyataan bersama itu di sini hari ini.

Sebelum ini lapan warga Filipina yang mendakwa kononnya sebagai waris Sultan Sulu (pihak penuntut) telah memfailkan tuntutan di empat buah negara bermula dari tahun 2019.

Kenyataan bersama itu turut menggesa agar Kerajaan membuat siasatan lanjut tentang tindakan mana-mana pihak yang telah mencetuskan ruang untuk pihak penuntut memanipulasi mekanisme mahupun proses perundangan antarabangsa melalui pendekatan ‘forum shopping’.

“Ini termasuk siasatan lanjut dan terperinci terhadap tindakan mantan Peguam Negara yang telah mengutuskan surat kepada peguam Pihak Penuntut bertarikh 19 September 2019 tanpa mendapat persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri sebagaimana jawapan Kerajaan di Dewan Rakyat pada 28 Mac 2023,” tambah kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, enam Ahli Parlimen GRS berkata, sejajar dengan pendirian GRS yang sejak dari awal mempertikaikan tindakan mantan Peguam Negara tersebut dalam menguruskan isu berkaitan tuntutan tidak berasas berkenaan.

Menurut mereka lagi, pendirian ini dizahirkan dengan tindakan sembilan pemimpin GRS yang telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 16 Ogos 2022 terhadap mantan Peguam Negara tersebut.

“Ahli-Ahli Parlimen GRS seterusnya menyeru Kerajaan Persekutuan untuk memperkukuhkan tadbir urus untuk memastikan tidak ada mana-mana pihak dalam Kerajaan pada masa akan datang bertindak secara unilateral dalam hal-hal sensitif yang melibatkan integriti wilayah dan kedaulatan tanah air khususnya Negeri Sabah.

“Ini termasuk keperluan untuk melaksanakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Sabah,” tambah kenyataan itu. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Nurul Yanadido ke Hongkod Koisaan kali kedua

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular