HomeUtamaESSCOM laksana program sosioekonomi, bantu penduduk jana pendapatan dan tingkat pendidikan

ESSCOM laksana program sosioekonomi, bantu penduduk jana pendapatan dan tingkat pendidikan

Read Time:1 Minute, 58 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Sandakan : Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) meneruskan inisiatif membantu masyarakat di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) menerusi penganjuran program sosioekonomi ESSCOM.

Program yang dilaksanakan di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, Sandakan itu telah dirasmikan Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee.

Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata, program itu merupakan kesinambungan kepada program penyusunan semula perkampungan air di ESSZone.

Katanya, program itu juga bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai peluang bagi menjana pendapatan dan peningkatan tahap pendidikan serta kemahiran. 

Menurutnya lagi, program berkonsepkan mini karnival itu juga telah mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Usaha Maju (YUM) dan Amanah Ikthiar Malaysia (AIM) melalui pameran, ‘pocket talk’ serta temu duga pendidikan dan kerjaya. 

Program yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu turut menyasarkan penglibatan sekitar 400 orang peserta daripada penduduk PPR Taman Harmoni dan masyarakat setempat dalam lingkungan usia 18 hingga 45 tahun, sama ada yang ingin melanjutkan pelajaran mahupun mencari pekerjaan. 

Selain mengadakan pameran, PERKESO telah mempelawa tujuh majikan untuk menjalankan temu duga kerjaya seperti IOI Plantation Services Sdn. Bhd., Borneo Unite, Alliance Steel (M) Sdn. Bhd., Public Mutual, Mydin Mohamed Holdings Bhd., Holiday Villages of Malaysia Sdn. Bhd., dan Borneo Skills Development Centre. 

KTYS yang turut terlibat dengan pameran juga menjalankan temu duga pendidikan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. 

PPR Taman Harmoni merupakan projek pilot kepada penyusunan semula perkampungan air dari Kampung Muhibbah, Kampung Forest, Kampung Cahaya Baru dan Kampung Good View yang bermula pada tahun 2014. 

Memiliki 10 buah blok, PPR ini telah mula diduduki pada tahun 2016 secara berperingkat dan kini sembilan blok telah dihuni manakala sebuah blok lagi sedang dalam penyelenggaraan.  

Selain pameran yang turut disertai oleh ESSCOM, MARA dan AIM, penyerahan kit ‘Back To School’ sumbangan Syarikat Canggih Bayu Sdn. Bhd. juga diadakan bagi menyantuni 100 murid sekitar PPR Taman Harmoni yang tergolong dalam kalangan asnaf dan B40. 

Hadir sama, Timbalan Presiden 1, Majlis Perbandaran Sandakan, Wilson Thomas; Ketua Eksekutif KTYS, Samin Ongki; Pengarah PERKESO Sandakan, Mariam Hassan; Pengurus Cawangan AIM Sandakan, Norazlina Abdul Kadir; Pengarah Urusan Syarikat Canggih Bayu Sdn. Bhd., Safuan Abas; Pegawai MARA Cawangan Sandakan dan Mohd. Azhar Mohamed. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

518 kes pokok tumbang berlaku di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular