Oleh :- Muda Muhammad
Betapa berjayanya asimilasi budaya di Sabah, sampai sahaja orang Korea di negeri ini terus bertukar namanya menjadi “Karim”. Itulah yang berlaku pada pemain bolasepak import Sabah iaitu Park Tae Su yang berasal daripada Incheon, Korea Selatan.
Park Tae Su telah dikenali sebagai “Karim” di kalangan rakan-rakan sepasukan dalam pasukan Sabah. “Karim” beraksi bersama pasukan Sabah FC dalam saingan Liga Super Malaysia sejak musim 2018/2019 yang lalu. Sudah hampir 5 tahun, “Karim bermain untuk pasukan Sabah.
Silap-silap selepas ini “Karim” boleh jadi pemain naturalisasi pasukan Harimau Malaya. Mana tahu boleh jadi gandingan mantap dengan Dion Cools di barisan pertahanan Malaysia. “Karim” ini terlebih layak untuk menjadi pemain naturalisasi Malaysia kerana dia sendiri fasih berbahasa Malaysia.
Dalam artikel sebelum ini, ada tiga perkara yang membuatkan ramai pelancong Korea datang ke negeri Sabah iaitu Pantai, Padang Golf dan Pulau. Biarpun seorang pemain bolasepak dan tidak pandai bermain golf, “Karim” juga terpengaruh dengan salah satu P itu iaitu “Padang Golf”. “Karim” mengakui pada masa lapang dia suka bermain golf bersama dengan isterinya di Sabah.
Dalam satu wawancara bersama Youtube Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Astro Arena, “Karim” cukup fasih berbahasa Melayu. Semua soalan yang diajukan oleh wartawan atau hos dijawab menggunakan bahasa kebangsaan Malaysia. Hebat Pak Karim.
“Bagus Park Tae-su, fasih berbahasa Melayu lagi. Nampak betapa sayangnya dia dekat Sabah FC sehingga menyatakan yang dia ingin bersara di Sabah FC. Harap-harap lepas bersara nanti FAM ambillah Park Tae-su sebagai Pembantu Jurulatih Harimau Malaya bersama dengan Kim Pan-gon,” kata seorang pengguna Facebook yang mengharapkan agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjadikan “Karim” sebagai pembantu jurulatih Harimau Malaya.
“Karim” turut mencipta sejarahnya yang tersendiri bersama pasukan Sabah bila mencetak satu gol roket yang telah mendapat pujian daripada pihak FIFA sendiri. “Karim” menjaringkan gol tersebut dalam aksi Piala Malaysia bertemu dengan PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada bulan September tahun lepas. Jaringan roket “Karim” itu daripada jarak 40 ela, terkena palang sebelum terus memasuki jaring
“Karim” adalah outcome kepada perpaduan berbilang bangsa dan budaya masyarakat majmuk yang kuat di negeri Sabah. Orang Korea boleh terpesona dengan budaya orang Sabah kerana kemarahan hati dan kemesraan orang Sabah.
Terdapat lebih 33 etnik di Sabah, 50 bahasa dipertuturkan dan 80 dialek yang berbeza, namun itu tidak menjadi halangan untuk “Karim” jatuh hati untuk bertutur dalam bahasa Malaysia di Sabah. Inilah keunikan negeri Sabah, jarang ada di dunia yang lain.