Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kota Kinabalu : Golongan belia khususnya di negeri ini diseru untuk terus meneroka peluang kemahiran dan teknologi seperti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, menerusi TVET, ianya juga akan dapat memberi impak yang tinggi selain kini telah menjadi pilihan arus perdana.
“Ekonomi berasaskan industri harus terus dipacu oleh anak watan yang berkepakaran dan berkemahiran dalam lapangan teknologi sebagai pemacu utama pembangunan perindustrian.
“Penglibatan Institut Pengajian Tinggi (IPT) TVET membuktikan bahawa TVET merapatkan jurang dan memudahcara artikulasi dan mobiliti antara sektor akademik dan TVET,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Perintis Muda (PERMUDA) di Wisma Wanita di sini hari ini.
Arifin berkata, sinergi pelbagai pihak yang merentasi pelbagai sektor dalam pembangunan kurikulum BioTech. telah menjadikan program ini amat praktikal dan fleksibel untuk disesuaikan dengan keperluan negara kini dan masa hadapan dalam era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan 5.0.
“Besar harapan saya agar melalui platform PERMUDA ini, Majlis Belia Sabah (MBS) dapat mengetuai golongan belia IPT menyampaikan isu-isu semasa belia serta idea dan pandangan mereka kepada kerajaan negeri.
“Saya yakin pengalaman dan bimbingan ilmiah daripada IPT dapat membantu MBS merangka program berfokus sesuai dengan potensi belia di IPT mereka. Saya percaya melalui program yang dilaksanakan akan melahirkan belia yang kreatif dan berinovasi tinggi seterusnya menyumbang kepada pembangunan modal insan hala tuju Sabah Maju Jaya.
“Kerjasama yang akan melibatkan penganjuran program, penyelidikan bersama dan pembangunan jati diri akan membantu kerajaan Negeri melahirkan belia unggul,” katanya.
Dalam pada itu, Arifin berkata, penubuhan PERMUDA di bawah seliaan MBS membuktikan bahawa kerajaan negeri menyantuni semua golongan belia secara holistik.
Katanya, pihaknya percaya keterlibatan IPT awam dan swasta dalam program kerjasama itu akan dapat membantu kerajaan negeri mengali bakat dan potensi belia dalam usaha kerajaan negeri melahirkan belia unggul. – SABAH MEDIA