HomeEkonomiUsahawan wanita perlu kalis dengan cabaran dunia perniagaan - Redonah

Usahawan wanita perlu kalis dengan cabaran dunia perniagaan – Redonah

Read Time:1 Minute, 47 Second

KOTA MARUDU: Golongan usahawan wanita di negeri ini diingatkan agar terus mengukuhkan jati diri bagi menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran dalam dunia perniagaan.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Redonah Bahanda berkata, dunia perniagaan hari ini sangat mencabar selain berdepan dengan pelbagai dugaan dan rintangan yang kadangkala datang tanpa diduga.

Menurut beliau, hasrat kerajaan negeri ialah bukan lagi sekadar melahirkan ramai usahawan tetapi mahu menjadikan usahawan yang ada kalis dengan masalah yang melanda.

“Kita bukan sahaja perlu menumpukan kepada inisiatif melahirkan usahawan semata-mata, tetapi juga perlu memberikan perhatian kepada usaha membentuk usahawan-usahawan yang memiliki daya tahan dan daya saing yang tinggi.  

“Ini supaya usahawan-usahawan kita mampu bertahan dan bersaing meskipun berhadapan dengan persekitaran ekonomi yang lembab, serta ada ketika tidak menyokong perkembangan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutup kursus Pemprosesan Produk Berasaskan Ikan di Kampung Selaping Kota Marudu di sini pada Rabu (21 Jun).

Hadir sama Presiden KMNITA Sabah, Mollen Simbaku, ahli jawatankuasa KMNITA berserta 50 orang peserta kursus. Program merupakan anjuran Kota Marudu Usahanita (KMNITA) Sabah.

Kursus ini juga memberikan ruang dan peluang untuk menambah ilmu melalui kursus pembuatan ikan pekasam, ikan jeruk liking, bebola ikan dan “fishcake” kepada peserta-peserta kursus.

Redonah berkata, bagi memperkasakan jati diri, usahawan perlulah mempertingkatkan kemahiran dalam pengurusan perniagaan termasuk melengkapkan diri dengan pengetahuan keusahawanan.

“Mereka juga perlu menjalin kerjasama dengan perusahaan lain terutamanya syarikat korporat besar. Ini bagi membolehkan usahawan memanfaatkan teknologi terkini, meluaskan rangkaian perniagaan, kekuatan kewangan dan nilai keusahawanan serta memperluaskan perniagaan hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan sememangnya telah banyak mewujud dan melaksanakan program, seminar dan aktiviti-aktiviti yang bertujuan membantu usahawan untuk lebih berjaya dan berdaya saing.
 
Katanya, walaupun begitu, kerajaan percaya bahawa masih terdapat ruang dan kelemahan yang perlu diperbaiki dalam meningkatkan pencapaian usahawan.

“Inisiatif mengadakan kursus keusahawanan seperti ini adalah satu sumbangan yang sangat relevan kepada para usahawan tempatan dalam mendapatkan pendedahan mengenai bidang keusahawanan dan berkongsi pengetahuan.  

“Pembangunan usahawan merupakan satu agenda nasional yang perlu dihayati dan dijayakan oleh rakyat terutamanya di kalangan usahawan itu sendiri.  Semuanya bergantung kepada usahawan untuk berubah dan memantapkan ilmu dan kemahiran berniaga,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Ops Buaya: JHL tembak mati buaya betina di Kg Sabah Baru

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular