HomePendapatCommunity-Based Tourism (CoBT) Berjaya Tarik Jutaan Pelancong Ke Sabah

Community-Based Tourism (CoBT) Berjaya Tarik Jutaan Pelancong Ke Sabah

Read Time:3 Minute, 10 Second

OLEH — Muda Muhammad

Pada 19 Jun 2023, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan Sabah akan menerima sejumlah 1.7 juta pelancong pada tahun ini (2023). Untuk tempoh empat bulan tahun ini sahaja, sejumlah 792,899 orang pelancong sudah datang ke negeri Sabah. Daripada jumlah itu, sejumlah 68,685 (8.6%) adalah pelancong daripada Korea.

“Peningkatan pelancong adalah 94.1%, berbanding 408,530 orang bagi tempoh yang sama pada tahun lepas” kata Hajiji. Selain itu, Hajiji juga menyatakan sejumlah 100 penerbangan antarabangsa dengan jumlah kapasiti penumpang berjumlah 18,164 orang ke Sabah secara mingguan. Manakala penumpang domestik pula sejumlah 366 penerbangan dengan kapasiti 60,303 orang secara mingguan ke lapangan terbang Kota Kinabalu.

Peningkatan ini banyak disumbangkan oleh operator Community-Based Tourism (CoBT). Banyak lagi operator CoBT akan dilatih di kawasan luar bandar yang secara tidak langsung akan menjana ekonomi dan pekerjaan kepada masyarakat di kawasan tersebut juga.

vti hiking di Kampung Lokub Kiulu, gambar daripada facebook Kiulu Tourim Association

Sebagai contoh, dua pilot projek CoBT di Kiulu, Tuaran dan Kadamaian, Kota Belud yang berjaya menjana hasil jutaan ringgit dan puluhan ribu pelancong yang datang. Di Kiulu, sejumlah RM5.45 juta pendapatan dijana, 54,000 pelancong telah datang dan mencipta sejumlah 300 peluang pekerjaan baharu. Manakala di Kadamaian pula, telah menghasilkan pendapatan sejumlah RM2.57 juta dengan sejumlah 217,000 pelancong hadir dan 251 peluang pekerjaan baharu.

CoBT sudah diperkembangkan juga ke daerah-daerah lain di Sabah. Kerajaan Negeri Sabah menerusi Sabah New Deal telah memperuntukan sejumlah RM10 juta untuk menaik taraf kemudahan dan infrastruktur pelancongan di kawasan pedalaman Sabah termasuklah di Keningau, Nabawan, Tenom dan Tambunan.

Terminologi CoBT mula muncul pada pertengahan tahun 1990an. CoBT adalah alternatif kepada bidang pelancongan yang terus menjurus kepada komuniti dengan membawa kesan kepada ekonomi di komuniti terbabit. Di Sabah, pada tahun 2007, The Sabah Development Corridor (SDC) Blueprint telah meletakkan visi untuk menjadikan Sabah sebagai tempat yang paling liveable di Asia pada tahun 2025. Pelancong paling suka tinggal di tempat yang selamat, ada tarikan terbaharu dan lain dari yang lain bagi mereka. Sabah lah pilihan mereka.

Menerusi visi besar ini, ianya membuka peluang yang besar kepada rakyat Sabah untuk terlibat sama sebagai operator CoBT dalam bidang pelancongan. Biarpun pada awalnya operator CoBT kekurangan dana, pengetahuan, kemahiran pemasaran dan softskills, namun kini dengan bantuan daripada kerajaan negeri, sudah terbukti CoBT telah memainkan peranan besar dalam membawa masuk berjuta-juta orang pelancong ke negeri Sabah.

Gabungan antara CoBT dengan gerakan Koperasi juga telah membuah hasil di Kundasang menerusi penubuhan Koperasi Walai Tokou Kundasang Berhad (KOPSTAY). Mr. Kohadie telah menubuhkan KOPSTAY pada tahun 2008 dengan 15 orang ahli Lembaga Pengarah dan 55 orang ahli. Fokus utama KOPSTAY adalah kepada pelancongan inap desa atau homestay. Pada tahun 2015, KOPSTAY sudah berkembang kepada 8 kampung iaituKinasaraban, Liwagu, Mesilau, Pinosuk, Cinta Mata, Lohan, dan Singaran.

Buktinya menerusi CoBT dan Koperasi ini, dalam tempoh empat tahun pendapatan KOPSTAY telah meningkat daripada RM4,620 pada tahun 2011 kepada RM119,222.75 pada tahun 2014. Peningkatan pendapatan ini antaranya disebabkan polisi KOPSTAY yang memberikan peluang kepada ahli-ahlinya iaitu operator CoBT untuk merancang dan membuat keputusan secara bersama tentang pembangunan inap desa di Kundasang.

KOPSTAY bukan sahaja sekadar menyediakan inap desa, tetapi menyediakan juga perkhidmatan pakej pelancongan, persembahan kebudayaan, barang kraftangan, restoren, perkhidmatan pengangkutan dan tourist guides. KOPSTAY adalah satu contoh koperasi yang berjaya dalam membantu industri pelancongan di Sabah.

Tidak mustahil impian untuk menarik 1.7 juta pelancong ke Sabah pada tahun ini (2023) akan tercapai dan pada tahun tahun seterusnya Sabah akan terus menjadi destinasi pelancongan yang popular di rantau Asia ini. Jika orang Korea suka dengan Pulau, Pantai dan Padang Golf, mungkin ada pelancong lain yang suka dengan Pemandangan di Sabah. Berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu, ramai pelancong tidak akan melepaskan peluang bergambar dengan Pemandangan cantik itu di Sabah, terutamanya bila di Kundasang.

RELATED ARTICLES
Utama

Orang ramai dijemput hadir ke pameran Pembentukan Malaysia Khamis depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular