HomeUtamaESSCOM perhebat operasi bersepadu banteras PATI di Semporna

ESSCOM perhebat operasi bersepadu banteras PATI di Semporna

Read Time:1 Minute, 55 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Semporna : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) terus memperhebat Operasi bagi mengekalkan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat serta pelancong di Sabah.

Komander ESSCOM Deputi Komisioner Victor Sanjos berkata, operasi yang dilaksanakan selama tiga hari berakhir semalam sekitar daerah ini menyasarkan penempatan yang dikenal pasti didominasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Katanya, antara kawasan terlibat adalah sekitar pasar pekan Semporna dan kawasan setinggan seperti kampung Perigi, kampung Musalah, kampung Bangau-Bangau, kampung Sekolah Kebangsaan Pekan Dua, kampung Perigi serta premis refleksologi Atget Enterprise. 

“Sepanjang Operasi Bersepadu tersebut diadakan, sebanyak 74 buah rumah dan premis telah diperiksa melibatkan pemeriksaan seramai 1,166 orang.

“Operasi itu juga berjaya menangkap tujuh lelaki dewasa iaitu enam di bawah kesalahan Seksyen 51(5)(b) manakala seorang lagi di bawah Seksyen 6(1)(c),”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Victor berkata, dalam operasi itu, turut dilaksanakan pemotongan sambungan haram elektrik dan sebanyak 45 kilogram kabel elektrik dirampas oleh Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB).

Katanya, turut dirampas 37 batang kayu pelbagai saiz dengan anggaran nilai pasaran RM1,805. 

“Di samping itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan enam keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas di bawah Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987. 

“Pada masa yang sama ESSCOM turut mengkoordinasi Operasi Cegah Jenayah Pondohan di kawasan perairan Sangaban diketuai oleh Ketua Polis Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna,” katanya.

Dalam pada itu, Victor berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi yang terlibat, khususnya kepada 150 petugas terlibat.

Antara agensi terlibat Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja, Pejabat Daerah dan Majlis Daerah Semporna, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Jabatan Perikanan, SESB, Jabatan Perhutanan, JPJ dan Mahkamah Anak Negeri Semporna. 

“ESSCOM juga akan terus mempergiat operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah di ESS Zone bagi mengekang mana-mana elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam akibat kebanjiran PATI khususnya di pantai Timur Sabah. 

“Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sambutan Hari Malaysia disifatkan bawa makna besar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular