HomeUtamaJemaah haji bergerak ke Arafah Isnin ini

Jemaah haji bergerak ke Arafah Isnin ini

Read Time:1 Minute, 41 Second

BERNAMA
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Mekah : Kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia akan bergerak ke Arafah, Isnin ini untuk menyertai kira-kira tiga juta umat Islam seluruh dunia menjalani ibadah wukuf yang merupakan kemuncak haji pada Selasa, 9 Zulhijjah (27 Jun).

Mereka akan bergerak secara berperingkat ke Arafah yang jaraknya kira-kira 22 kilometer dari Masjidil Haram di sini, bermula 7 pagi waktu tempatan (12 tengah hari waktu Malaysia) menggunakan 21 bas disediakan bagi setiap maktab penginapan yang membawa jemaah haji dalam tiga penggiliran perjalanan.

Wukuf ialah rukun haji yang dilakukan dengan berada di padang Arafah mulai daripada tergelincirnya matahari (waktu zuhur) pada 9 Zulhijjah sehingga sebelum fajar pada 10 Zulhijjah.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata kesemua jemaah haji Malaysia akan bergerak untuk mabit (bermalam) di Muzdalifah bermula 6.30 petang sebelum melontar di Mina hingga 13 Zulhijjah.

“Malaysia mendapat keutamaan daripada kerajaan Arab Saudi untuk memilih waktu melontar di ketiga-tiga jamrah … alhamdulillah, jemaah kita dapat melontar pada slot malam bermula 8 hingga 10 malam disebabkan keadaan cuaca yang lebih dingin,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata 50 peratus jemaah haji akan melakukan Nafar Awal (melontar jamrah pada dua dari tiga hari tasyrik) manakala separuh lagi Nafar Thani (melontar bagi ketiga-tiga hari tasyrik) dan bertahalul.

Seterusnya, jemaah haji akan melakukan tawaf dan saie haji.

Syed Saleh berkata hampir 300 khemah di Arafah dan Mina tersedia buat jemaah haji negara dengan beberapa penambahbaikan dilakukan tahun ini termasuk khemah berdinding PVC dengan penyaman udara dan bekalan makanan yang keseluruhannya dibekalkan syarikat Malaysia.

Selain itu, 50 jemaah haji dipilih menyertai Program Prihatin Tetamu Ar Rahman (Peneman) yang bakal disantuni 50 petugas haji bagi membantu mereka ketika operasi Masyair.

Bagi pesakit pula, mereka akan dibawa ke Arafah menerusi program Safari Wuquf bersama petugas perubatan dengan menaiki bas khas dan ambulans.

Setelah selesai rukun dan wajib haji, jemaah akan melakukan tawaf wada’ atau tawaf selamat tinggal sebelum pulang ke tanah air, dengan penerbangan pertama dijadual pada 5 Julai ini. BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular