Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Tamparuli : Masyarakat setempat diseru untuk terus memelihara dan mempertahankan adat dan budaya tradisi warisan turun temurun agar ianya tidak dilupakan khususnya kepada generasi muda.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, kelestarian adat dan budaya suatu kaum perlu dijaga dan dipertahankan kerana warisan inilah yang mencerminkan sesuatu kaum tersebut.
“Pesta Kaamatan merupakan landasan terbaik kepada masyarakat kita untuk menonjolkan kekayaan seni dan kebudayaan masyarakat Kadazan Dusun kerana itulah aset yang amat berharga dan tiada nilai gantinya kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan perayaan Pesta Kaamatan Kampung Tenghilan, sini semalam.
Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, selain wadah menyatupadukan penduduk, Pesta Kaamatan juga dapat melestarikan budaya warisan bangsa yang kian terhakis kesan revolusi digital masa kini.
Katanya, semangat kekitaan yang dipupuk bukan sahaja setiap kali diadakan perayaan, tetapi diamalkan setiap masa, akan mengeratkan siraturahim, seterusnya memupuk perpaduan tanpa mengira bangsa dan agama.
“Budaya perlu dikekalkan demi kesinambungan tamadun kita, dan melalui budaya tradisional seperti inilah kita mengetahui asal usul kita,” katanya.
Dalam pada itu, pada majlis yang sama, Jahid turut meluluskan Kertas Kerja Projek Penyelidikan Buku Tenghilan: Sejarah Dan Transformasi, yang akan bermula pada Ogos 2023, dan dijangka siap pada bulan Mei 2024.
Projek tersebut diketuai Presiden Komuniti Mitatabang Sabah, Dr Bonaventure Boniface.
Terdahulu, Pengerusi Penganjur, Percy Johnny menghargai sumbangan Jahid, pemimpin masyarakat, para penduduk kampung dan individu yang telah menyumbangkan hadiah bagi menjayakan acara berkenaan.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah cabutan nama bertuah, acara pentas, masakan dan minuman tradisi dan banyak lagi. – SABAH MEDIA