HomeUtamaSabah berpotensi tinggi rebut peluang ekonomi dalam industri dron

Sabah berpotensi tinggi rebut peluang ekonomi dalam industri dron

Read Time:1 Minute, 53 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Sabah mempunyai potensi tinggi untuk merebut peluang ekonomi dalam industri dron seiring dengan lapan misi yang digariskan dalam Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022 – 2030 (MDTAP30).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ia termasuklah potensi dalam sektor pertanian bagi mencapai hasil yang lebih tinggi dan mengurangkan penggunaan buruh.

Katanya, teknologi ini akan mempermudah dan mempercepatkan gerak kerja yang melibatkan logistik termasuklah bertindak sebagai sistem sokongan untuk pasukan keselamatan, pemetaan tanah, pemantauan sempadan antara negara dan alternatif logistik bagi pembekalan perubatan ke kawasan yang terpencil.

“Selain itu, terdapat potensi ekonomi dalam membangunkan fasiliti dan operasi pembuatan serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang seterusnya dapat menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja mahir bagi memenuhi permintaan pasaran industri dron tempatan dan antarabangsa.

“Melihat kepada keperluan dan potensi ekonomi yang dapat kita capai melalui industri ini, saya percaya sudah tiba masanya kita di Sabah memberikan tumpuan dalam membangunkan ekosistem yang mesra industri teknologi dron bagi memacu sumber ekonomi baharu yang dapat memberi manfaat yang tinggi kepada rakyat Sabah.

“Semoga inisiatif yang dilancarkan pada hari ini akan menjadi titik tolak kepada kerjasama yang lebih luas dan erat antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan bagi merancakkan landskap industri teknologi dron di peringkat domestik dan antarabangsa,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menghadiri ‘Sabah Drone Open Day 2023’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini dan telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Arthur berkata, komitmen yang ditunjukkan Kerajaan Sabah melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) dengan kerjasama Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) secara tidak langsung mencerminkan usaha bersepadu antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan bagi meneroka potensi industri teknologi dron (DroneTech).

Katanya, industri dron berpotensi menyumbang kira-kira RM50.71 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara merangkumi RM2.77 bilion daripada sektor pertanian.

“Selain itu, sektor pembuatan/industri turut menyumbang sebanyak RM20.73 bilion dan RM28.14 bilion yang disumbang daripada sektor perkhidmatan di samping menyediakan kira-kira 100,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi menjelang tahun 2030.

“Sehubungan itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui MRANTI telah membangunkan MDTAP30 bagi menyokong ekosistem dan pembangunan industri dron negara,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah hargai keprihatinan Kerajaan Persekutuan bantu tingkat keterjaminan makanan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular