HomeSukanProgram pembangunan bola sepak TABS Bandaraya akan terus diperkasa

Program pembangunan bola sepak TABS Bandaraya akan terus diperkasa

Read Time:2 Minute, 17 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Tunas Asas Bola Sepak Sabah (TABS) Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Bandaraya akan terus memperkasakan program pembangunan bola sepaknya selaras dengan usaha untuk memajukan sukan bola sepak di negeri ini.

Timbalan Pengerusinya, Lokman Sunggim, berkata program pembangunan bola sepak yang dikendalikan ketika ini ternyata menyemarakkan semangat dan menarik minat dalam kalangan kanak-kanak untuk menceburi sukan tersebut.

“Sambutan memberangsangkan pelatih mencerminkan minat yang mendalam terhadap sukan bola sepak. Justeru kita sentiasa berusaha untuk memperkasakan lagi program yang sedang dijalankan sekarang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Lokman berkata, unit kejurulatihan TABS dari semasa ke semasa akan memperhalusi semua sudut program berkenaan dan akan mempertingkatkan usaha mengikut kesesuaian yang difikirkan perlu.

Katanya, unit kejurulatihan kini mempunyai hampir 30 jurulatih bertauliah di bawah ketuanya, Matasan Ahmad dan penolongnya, Roslan Wasli.

“Pada masa ini program pembangunan yang dijalankan memang selari dengan perkembangan sukan bola sepak di Sabah. Boleh dikatakan kita dalam landasan yang betul dalam melaksanakan program ini namun ia boleh diperkasakan lagi suapaya ia terus berkembang ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata, selain memberi peluang kepada kanak-kanak mendapat bimbingan yang baik dalam bola sepak seawal umur bawah lapan tahun hingga 18 tahun, ia juga dapat mengenal pasti pemain-pemain berbakat yang boleh mewakili pasukan negeri seperti untuk skuad Piala Belia, Piala Presiden dan seterusnya ke peringkat pasukan senior.

Katanya, memang sudah ramai pemain dilahirkan menerusi program pembangunan ini dan usaha tersebut perlu berterusan selagi TABS masih mampu melaksanakannya.

Beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada SAFA Bandaraya kerana mengilhamkan program pembangunan berkenaan yang kini membantu ramai pelatih termasuk dari daerah lain mendapat bimbingan dan pendedahan.

“TABS sebagai badan pelaksana program pembangunan membolehkan pengurusannya dapat mengendali dengan baik dengan adanya kepercayaan penuh dari SAFA Bandaraya.

“InsyaAllah dengan kepercayaan, persefahaman, kerjasama serta komitmen dari unit kejurulatihan akan membolehkan TABS bergerak ke hadapan bagi melaksanakan program pembangunan ini dengan jayanya,” katanya.

Mengenai kejayaan dan pencapaian pasukan-pasukan elit yang dibentuk bagi kategori bawah umur 8 tahun, 10, 12, 14 dan 16 khususnya untuk menghadapi kejohanan, Lokman berkata, pasukan terbabit akan meneruskan momentum mereka di samping akan menjadi saluran bagi meneruskan prestasi terbaik untuk menyerlahkan bakat mereka lebih jauh.

“Pasukan-pasukan tersebut terus cemerlang dan mencapai kejayaan dalam setiap kejohanan yang disertai seperti dalam Liga Suparimau, Piala Borneo, kejohanan jemputan NFDP, jemputan sekolah, kejohanan akar umbi dan dalam pertandingan tempatan lain.

“Kita mahu pasukan-pasukan ini boleh menjadi contoh di mana pemain-pemainnya digilap menerusi program pembangunan. Setakat ini memorandum persefahaman (MoU) dengan kelab profesional Sabah FC khususnya untuk program pembangunan bagi pemain B10, B12, B14, B16 dan B17 berjalan dengan baik.

“Sekiranya ada keperluan kita akan sentiasa berbicang dengan kelab tersebut bagi mempertingkatkan lagi kolaborasi antara kedua-dua pihak,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah luluskan peruntukan RM12.24 juta naik taraf kemudahan Stadium Likas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular