KOTA KINABALU: Pusingan Akhir Miss World Malaysia 2023 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu pada 25 Ogos ini.
Dijangka 1,500 tetamu yang akan hadir untuk menyaksikan acara berprestij itu.
Miss World Malaysia 2023 anjuran bersama HyperLive Entertainment dan Fantastic Golden merangkumi misi yang berakar umbi dalam memperkasakan belia khususnya di kalangan wanita di seluruh negara Malaysia untuk membuat perubahan ketara terhadap kehidupan orang lain.
Melalui inisiatif “Beauty with a Purpose”, acara ini akan menyatukan wanita luar biasa ini di bawah matlamat yang sama iaitu untuk membawa perubahan positif dan menaikkan semangat mereka yang memerlukan.
Tahun ini, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah mengorak langkah lebih jauh dengan menyokong acara itu untuk meningkatkan impak yang boleh dicipta bersama.
Menterinya Datuk Christina Liew berkata, beliau sangat teruja bahawa Miss World Malaysia 2023 Beauty Festival ini akan menawarkan peluang yang luar biasa untuk peserta dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti dan projek amal.
“Dengan kerjasama organisasi amal, kami akan memulakan perjalanan keprihatinan dan memberikan perkhidmatan yang berdedikasi untuk mengubah kehidupan dan menawarkan harapan kepada mereka yang paling memerlukannya.
“Untuk melaksanakan usaha murni ini dengan berkesan, kami berbangga kerana Pertubuhan Miss World Malaysia bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk menyokong penerima yang memerlukan,” katanya pada sidang media pertama Miss World Malaysia 2023 di The Pacific Sutera di sini pada Rabu (28 Jun).
Menurut Christina, pada festival itu akan diadakan Majlis Makan Malam Gala Amal dan Anugerah HyperLive Festival Malaysia, acara yang meriah itu akan menghimpunkan para dermawan, penderma dan penerima manfaat, untuk kebaikan komuniti kita.
“Dana yang dikumpul untuk acara gala amal akan disalurkan untuk mereka yang memerlukan dan secara langsung memberi kesan kepada kehidupan mereka.
“Itulah misi sebenar Miss World Malaysia dan saya amat berbangga untuk menyokong gerakan yang bertenaga ini. Malah ini adalah kali kedua acara ini diadakan di Sabah berturut-turut dari tahun 2022,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hyperlive Entertainment dan Pengarah Kebangsaan Miss World Malaysia, Dr. Sean Wong berkata, Festival Kecantikan Miss World Malaysia bukan sekadar pertandingan ratu cantik, kerana ia merangkumi perjalanan mendalam pemerkasaan, bakat, intelek dan kedermawanan.
“Kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah menguatkan lagi impak acara berprestij ini.
“Jemputan rasmi juga telah dihantar kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang turut sama menyokong acara untuk edisi tahun ini, dengan penuh sabar kami menantikan kehadiran beliau yang dihormati sekali lagi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Fantastic Golden Eric Goh turut menggalakkan individu untuk mengambil bahagian secara aktif dalam siri realiti itu dan menyokong Grand Final dan Gala Amal serta mengikuti acara di saluran media sosial untuk terus terlibat dengan perjalanan yang memberi inspirasi ini.
Pada acara itu kita akan menyaksikan penobatan Miss World Malaysia 2023 dengan kehadiran Miss World 2022, Karolina Bielawska dan Miss World Malaysia 2022 Wenanita Angang.
Untuk maklumat lanjut, sila ikuti Halaman Facebook Rasmi: “Miss World – Malaysia” untuk maklumat terkini mengenai Miss World Malaysia 2023 Beauty Festival.