HomeIsu tempatanESSCOM hargai kejayaan Batalion 20 PGA Beluran kekang aktiviti penyeludupan

ESSCOM hargai kejayaan Batalion 20 PGA Beluran kekang aktiviti penyeludupan

Read Time:2 Minute, 36 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Beluran : Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Deputi Komisioner Victor Sanjos merakamkan penghargaan kepada pegawai dan anggota pasukan keselamatan Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran.

Katanya, ini selepas pasukan terlibat berjaya menggagalkan percubaan menyeludup barang tanpa cukai, barang kawalan dan bersubsidi dalam sekatan jalan raya di Road Check Point (RCP) Sapi Nangoh, di sini.

Menurutnya, sepanjang suku kedua tahun ini, RCP Sapi Nangoh telah berjaya mengekang aktiviti penyeludupan melalui pemeriksaan dan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM627,000 dan ia merupakan jumlah yang agak tinggi dan merugikan negara.

“Justeru, semasa tinjauan kesiapsiagaan pasukan keselamatan di RCP Sapi Nangoh baru-baru ini, saya telah memberikan pengiktirafan kepada 17 orang pegawai dan anggota Batalion 20 PGA Beluran.

“Ini adalah sebagai penghargaan atas komitmen selaku petugas barisan hadapan di Zon Selamat Sabah Timur  (ESS Zone) khususnya RCP Sapi Nangoh sehingga berjaya mengekang ancaman keselamatan dan elemen jenayah rentas sempadan melibatkan penyeludupan.

“Sebagai makluman, petugas di RCP Sapi Nangoh telah berjaya menangkap dua orang suspek dan menggagalkan cubaan menyeludup ayam serta daging beku bernilai RM563,800 yang disiasat di bawah Seksyen 135(1) (D) Akta Kastam 1967.

“Selain itu, petugas tersebut juga berjaya menangkap seorang suspek dan merampas sebuah lori dengan muatan 3,600 liter Minyak Sawit Crude Palm Oil yang bernilai RM61,800 dan kes telah disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Sawit Malaysia 2015, Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582),” katanya.

Victor berkata, kejayaan yang dicapai oleh pasukan keselamatan di ESS Zone itu adalah hasil koordinasi yang rapi dan kesepaduan operasi secara bersama oleh pelbagai agensi diterajui ESSCOM.

Katanya, ini sekali gus memastikan situasi keselamatan di kawasan ini terus kekal selamat dan terkawal di samping mengurangkan ketirisan hasil pendapatan negara akibat aktiviti penyeludupan di kawasan tersebut.

“Justeru, ESSCOM ingin menzahirkan penghargaan kepada semua Jabatan dan agensi pertahanan, keselamatan serta penguatkuasaan sama ada Persekutuan dan Negeri yang telah bekerja keras khasnya di RCP Sapi Nangoh dalam memastikan kawasan daratan di pantai Timur Sabah ini bebas daripada sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan pencerobohan anasir asing.

“Kejayaan Operasi Taring PGA di RCP Sapi Nangoh ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan melalui ESSCOM untuk memperkasakan operasi-operasi sedia ada menerusi koordinasi Operasi Sanggah ESSCOM.

“Selain itu, ESSCOM juga amat menitikberatkan dan memberi perhatian dalam soal menjaga kebajikan serta meningkatkan motivasi para anggota yang bertugas di lapangan melalui penambahbaikan infrastruktur pos-pos kawalan dan peningkatan keupayaan rondaan petugas barisan hadapan menerusi perolehan aset-aset keselamatan yang terkini sejajar dengan tuntutan operasi yang tinggi serta mencabar di ESS Zone,” katanya.

Dalam pada itu, Victor berkata, pihaknya juga sedia maklum tentang kewujudan lorong-lorong tikus selain kekangan aset yang merupakan cabaran terbesar kepada pasukan keselamatan di kawasan ini dalam melaksanakan rondaan pencegahan jenayah.

“Justeru, ESSCOM akan memperhalusi cadangan penyelesaian yang terbaik untuk dikemukakan ke peringkat Kementerian nanti.

“Saya juga ingin menyeru kepada seluruh masyarakat khususnya di pantai Timur Sabah supaya melapor dan menyalurkan apa jua maklumat berkaitan sebarang insiden yang boleh mengancam keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian  011-63311072,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Penyertaan julung kali bawa tuah, Velvet Aduk dinobat juara CLAS-15

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular