HomeUtamaPengecualian surcaj elektrik bukti komitmen kerajaan bantu rakyat Sabah - Pengerusi SESB

Pengecualian surcaj elektrik bukti komitmen kerajaan bantu rakyat Sabah – Pengerusi SESB

Read Time:2 Minute, 23 Second

BERNAMA
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu: Langkah mengekalkan pengecualian surcaj elektrik kepada pengguna domestik di Sabah untuk tempoh 1 Julai hingga 31 Dis ini menunjukkan komitmen kerajaan Persekutuan bagi membantu meringankan beban hidup rakyat di negeri itu.

Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, ia membuktikan segala perancangan dan peruntukan yang diumumkan kerajaan Persekutuan untuk Sabah sebelum ini dilaksanakan dengan baik.

“Kita berterima kasih kerana Sabah juga dimasukkan dalam dasar berkenaan (pengecualian surcaj elektrik) …sebenarnya kita di Sabah telah menerima peruntukan sebanyak RM800 juta setahun untuk memastikan SESB terus beroperasi seperti biasa.

“Ini kerana kos penjanaan SESB yang disalurkan adalah lebih tinggi daripada jualan kepada pengguna, jadi kita memerlukan kos berkenaan. Namun, kita sangat mengalu-alukan usaha kerajaan (pengecualian surcaj) demi pengguna yang ada di Sabah,” katanya kepada Bernama, di sini, semalam.

Semalam, Suruhanjaya Tenaga (ST) mengumunkan pengecualian surcaj kepada pengguna domestik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah, dikekalkan untuk tempoh 1 Julai hingga 31 Dis ini.

Ia adalah susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan pelarasan tarif elektrik di bawah mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) secara bersasar dalam tempoh tersebut.

ICPT merujuk kepada satu mekanisme di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) yang membolehkan kos bahan api diselaras setiap enam bulan berdasarkan kadar turun naik harga global bahan api.

Mengulas lanjut, Madius, yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, SESB juga kini sedang melaksanakan ICPT dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sementara itu, pegawai tadbir sebuah agensi kerajaan negeri Mohd Asran Mohd Arif, 33, berkata, beliau lega dengan pengekalan pengecualian surcaj itu dan menyifatkannya sebagai langkah yang baik dalam membantu rakyat yang terkesan dengan kenaikkan kos sara hidup masa ini.

“Jika pengecualian surcaj ini tiada, sudah tentu tarif elektrik itu boleh meningkat yang akan meningkatkan kos harian kita, jadi ini langkah yang baik namun saya harap kerajaan dapat mencari jalan supaya tariff elektrik itu dapat dikurangkan atau sekurang-kurangnya terus dikekalkan bagi bantu rakyat,” katanya.

Pembantu kedai serbaneka, Deiryll Jolisan, 26, berharap usaha membantu pengguna di Sabah tidak hanya tertumpu kepada kos surcaj elektrik sebaliknya aspek peningkatan mutu perkhidmatan bekalan elektrik juga perlu diberi perhatian.

“Bagus bila tarif elektrik untuk pengguna tidak naik, tetapi jika perkhidmatan itu sama sahaja seperti selalu terputus bekalan dan buat catuan bila bekalan terlalu tinggi itu tidak bagus juga. Jadi saya harap kerajaan dapat melihat daripada segi ini juga,” katanya.

Pada 2 Mei lalu, SESB, menerusi kenyataan memaklumkan, catuan elektrik terpaksa dilaksanakan di negeri itu bagi memastikan grid elektrik kekal stabil akibat permintaan tenaga elektrik yang tinggi berikutan cuaca panas melanda negara pada ketika itu.

Menurut SESB, secara purata, pemintaan bekalan elektrik pada waktu puncak untuk Sabah adalah sekitar 970 megawatt (MW), bagaimanapun, pada 26 April lalu negeri ini telah mencatat permintaan paling tinggi untuk tahun ini iaitu 1,029MW. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

102 KIR terjejas banjir di Penampang terima sumbangan Perdana Menteri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular