HomePendapatSabah terus membangun : sektor perkhidmatan berorientasikan pelancongan sumbang ekonomi negeri

Sabah terus membangun : sektor perkhidmatan berorientasikan pelancongan sumbang ekonomi negeri

Read Time:5 Minute, 7 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Oleh WAN AZRAIN ADNAN
02 Julai 2023

1.         Pada minggu lepas, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengumumkan laporan prestasi ekonomi negara untuk tahun 2022. Secara keseluruhannya, DOSM menyatakan bahawa ekonomi Malaysia telah mempamerkan daya tahan, di sebalik suasana ekonomi global yang mencabar.

2.         Menurut laporan DOSM tersebut, ekonomi negara telah melonjak sebanyak 8.7% pada tahun 2022, berbanding dengan pertumbuhan 3.3% pada tahun 2021. Ini merupakan pertumbuhan ekonomi yang tertinggi sejak tahun 2000 (8.9%).

3.         Malah, pertumbuhan tinggi ini adalah membanggakan kerana ekonomi negara terus menuju pemulihan sejak mengalami pengucupan ekonomi sebanyak 5.5% pada tahun 2020 ketika kemuncak pandemik Covid-19, iaitu salah satu prestasi ekonomi terburuk dalam sejarah negara.

4.         Pada tahun 2022, semua sektor ekonomi mencatatkan pertumbuhan positif, di dahului oleh Sektor Perkhidmatan (10.9%) dan Sektor Pembuatan (8.1%). Sektor Perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi negara pada kadar 58.3%, di ikuti oleh Sektor Pembuatan pada kadar 24.1%.

5.         Data DOSM menunjukkan ekonomi Sabah telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.7% pada tahun 2022. Lonjakan ini adalah memberangsangkan setelah Sabah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang lembap untuk tempoh 4 tahun iaitu: 2018 (1.5%), 2019 (0.7%), 2020 (-9.2%) dan 2021 (1.5%).

6.         Walaupun itu adalah pencapaian yang memberangsangkan, pertumbuhan ekonomi Sabah tersebut adalah terendah di Malaysia. Namun begitu, Sabah menyumbang sebanyak 5.4% kepada ekonomi negara, iaitu penyumbang ke-6 terbesar, selepas Selangor (25.5%), Wilayah Persekutuan KL (15.9%), Johor (9.4%), Sarawak (9.3%) dan Pulau Pinang (7.4%).

7.         Pencapaian ini telah berjaya meningkatkan KDNK per kapita Sabah dari RM 30,022 (2021) kepada RM 36,020 (2022). Namun begitu, ianya masih di bawah KDNK per kapita negara pada RM 54,863. KDNK per kapita Sabah juga merupakan KDNK per kapita negeri ke-5 terendah di Malaysia, selepas Kelantan (RM 16,567), Perlis (RM 23,126), Kedah (RM 25,967) dan Terengganu (RM 32,199).

8.         Pertumbuhan ekonomi Sabah tersebut di pacu oleh Sektor Perkhidmatan yang telah meningkat sebanyak 8.6%, dan merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi Sabah, sebanyak 49.5%. Pertumbuhan Sektor Perkhidmatan ini di terajui oleh industri berorientasikan pelancongan.

9.         Industri pelancongan di Sabah terus berkembang pesat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di hentikan, dan sempadan negara di buka kembali kepada pelancong. Untuk empat (4) bulan pertama tahun 2023, jumlah pelancong di Sabah telah meningkat sebanyak 94%, berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Ini sejajar dengan sasaran 2.2 juta jumlah pelancong pada tahun 2023, yang di unjur menyumbang sejumlah RM 4.1 billion kepada pendapatan negeri Sabah.

10.       Ketika Sabah mengejar pertumbuhan ekonomi, perhatian utama mesti di berikan kepada pengagihan kekayaan/ wealth distribution agar kemajuan yang di capai dapat di nikmati oleh seluruh rakyat Sabah, di serata negeri Sabah.

11.       Sabah menghadapi isu pengagihan pendapatan yang tidak seimbang. Pada tahun 2019, Pekali Gini Sabah ialah 0.397, iaitu tertinggi di Malaysia. Manakala, pada tahun 2016, Pekali Gini Sabah ialah 0.402, iaitu tertinggi di Malaysia serta satu-satunya negeri yang melebihi Pekali Gini negara (0.399).

12.       Menurut data DOSM, Sabah merupakan antara negeri termiskin di Malaysia. Pada tahun 2020, Sabah telah mencatatkan peratusan kemiskinan mutlak/ hardcore poverty yang tertinggi di Malaysia iaitu 25.3%, berbanding dengan peratusan negara pada kadar 8.4%. Ini bermakna 1 daripada 4 isi rumah di Sabah adalah miskin!

13.       Insiden kemiskinan mutlak ini terdapat di serata negeri Sabah. Malah 8 daripada 26 daerah pentadbiran di Sabah mencatatkan jumlah kemiskinan mutlak melebihi 30%. Manakala daerah Tongod dan Pitas pula mencatatkan jumlah kemiskinan mutlak melebihi 50%.

14.       Kemiskinan Mutlak adalah situasi di mana pendapatan isi rumah tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas hidup iaitu – makanan, tempat perlindungan dan pakaian. 

15.       Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan hasil bumi seperti minyak dan gas, balak serta kelapa sawit, Sabah mampu menjadi sebuah negeri maju berpendapatan tinggi. Sudah sekian lama, Sabah di belunggu fenomena ‘rakyat miskin di dalam negeri yang kaya’. Rakyat Sabah berhak menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan mampan. Ini dapat di capai dengan menyediakan peluang pekerjaan dengan gaji bermaruah kepada rakyat Sabah.

16.       Ketika ini, Sabah menghadapi isu pengganguran yang tinggi, jauh lebih tinggi dari kadar pengganguran negara (3.7%). Data DOSM menunjukkan bahawa kadar pengganguran di Sabah telah meningkat untuk tempoh 2018 – 2021: 2018 (5.8%), 2019 (5.8%), 2020 (8.0%), 2021 (8.1%), dan menurun sedikit untuk tahun 2022 (7.7%). Malah, kadar pengganguran belia di Sabah adalah yang tertinggi di Malaysia. Oleh kerana tiada peluang pekerjaan yang sesuai dan mencukupi, di anggarkan hampir 200,000 rakyat Sabah sedang bekerja di Semenanjung Malaysia.

17.       Pada masa yang sama, isu under-employment juga wajar di teliti. Walaupun tiada data menyeluruh mengenai isu under-employment, ianya telah di kenal-pasti sebagai satu isu yang genting di Malaysia, termasuklah Sabah, terutamanya di kalangan belia.

18.       Pada pembentangan Belanjawan Sabah 2023, ekonomi Sabah di unjurkan meningkat sebanyak 5.0% pada tahun 2023. Ini membuktikan bahawa pelaksanaan agenda Sabah Maju Jaya berjaya meletakkan Sabah di landasan pembangunan yang mampan, yang dapat menangani empat isu utama – jumlah rakyat miskin yang ramai, kadar pengganguran tinggi, pertumbuhan ekonomi yang lembap, serta jurang pendapatan yang besar.  

19.       Segala kesilapan lalu wajar menjadi pengajaran dan panduan agar tidak berulang lagi. Pembangunan Sabah yang mampan serta inklusif hanya boleh di capai dengan kepimpinan yang cekap, amanah serta berwawasan tinggi.

RELATED ARTICLES
Utama

2 Anggota Polis Ulu Tiram Terbunuh, Penyerang Ditembak Mati

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular