HomeUtamaKerosakan kenderaan akibat jalan rosak, boleh tuntut ganti rugi - Shahelmey

Kerosakan kenderaan akibat jalan rosak, boleh tuntut ganti rugi – Shahelmey

Read Time:1 Minute, 37 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Pengguna jalan raya yang mengalami kerosakan pada kenderaan mereka akibat melalui jalan raya yang rosak di negeri ini boleh menuntut ganti rugi kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pengguna jalan raya boleh menuntut ganti rugi kepada pihak JKR sekiranya kenderaan mereka mengalami kerosakan akibat jalan raya yang rosak tetapi hendaklah melalui beberapa proses termasuk laporan polis, kemudian ke mahkamah beserta laporan kes dengan bukti-bukti yang mencukupi.

“Boleh menuntut ganti rugi, ia ‘case to case basis’ seperti membuat laporan polis, kemudian melalui proses mahkamah dan laporan kes mestilah ada bukti-bukti yang mencukupi,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Minggu Integriti Kementerian Kerja Raya Sabah Bersama Jabatan Dan Agensi 2023 di Hotel Hilton di sini, hari ini.

Baru-baru ini tular di media sosial beberapa pengguna jalan raya mahu menuntut ganti rugi kepada pihak JKR kerana kenderaan mereka mengalami kerosakan akibat melalui jalan raya yang rosak di beberapa kawasan di negeri ini.

Sementara itu, Shahemey turut diminta mengulas mengenai peruntukan RM320 juta yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan untuk memulihkan masalah bekalan air di Sabah.

Beliau menjelaskan bahawa peruntukan segera daripada Kerajaan Persekutuan tentang masalah bekalan air itu telah diberi kelulusan oleh Perdana Menteri dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sedang melaksanakan inisiatif segera untuk memulihkan atau stabilkan bekalan air di Sabah khususnya di kawasan Kota Kinabalu, Tuaran dan Putatan.

Namun demikian katanya, wang peruntukan tersebut masih belum disalurkan. Ada jawatankuasa teknikal telah bermesyuarat untuk memperhalusi tatacara penyaluran dan sebagainya.

“Bagaimanapun di peringkat negeri kita terus jalankan usaha stabilkan bekalan air yang saya berpendapat ianya sudah mulai dirasai oleh sebahagian penduduk sekitar Kota Kinabalu, Tuaran dan Putatan,” jelasnya.

Mengenai perkembangan Loji Rawatan Air Telibong 2, Shahelmey berkata, ianya masih berjalan (in progress) dan tentang pemasangan paip itu juga sudah hampir dimuktamadkan.

“Kita berharap kerja-kerja fizikal akan boleh dilaksanakan dalam tahun ini,” ujar beliau.

RELATED ARTICLES
Utama

Dr Maria dilantik Pengarah JKNS baharu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular