HomeUtamaPM Mahu tindakan diambil terhadap Penjawat Awam yang kekal dan selesa dengan...

PM Mahu tindakan diambil terhadap Penjawat Awam yang kekal dan selesa dengan ‘cara dan amalan lama’

Read Time:2 Minute, 30 Second

PUTRAJAYA — Tindakan mesti diambil terhadap penjawat awam yang kekal selesa dengan “cara dan amalan lama”, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim

Perdana Menteri berkata walaupun jumlah penjawat awam dalam kumpulan ini kecil, tindakan mereka mesti dihentikan kerana ia merosakkan nama baik perkhidmatan, pentadbiran mahupun negara.

Anwar bagaimanapun tidak menyatakan apa yang beliau maksudkan dengan “amalan dan sistem lama”, tetapi berkata perkara ini terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bertindak.

“Kita tidak boleh membiarkan beberapa epal busuk merosakkan yang lain. Penjawat awam pun ramai yang berintegriti,” katanya ketika berucap di hadapan kakitangan Jabatan Perdana Menteri pada perhimpunan bulanan hari ini.

Anwar seterusnya menjelaskan mengenai lawatan mengejutnya ke KLIA pada Ahad berikutan insiden baru-baru ini melibatkan seorang pelancong China.

Sambil menyifatkan ia sebagai “ribut kecil”, Perdana Menteri berkata lawatannya adalah untuk mempertahankan integriti dan kewibawaan Jabatan Imigresen selepas kejadian itu.

“Saya pergi ke sana untuk memberi jaminan bahawa kita tidak sepatutnya memberi persepsi umum bahawa ada isu dalam jabatan.

“Selalu kita sebut kerana nila setitik rosak sebelanga, saya pergi (KLIA) untuk beri jaminan bahawa sebenarnya tidak wajar kita beri gambaran dan persepsi secara umum bahawa ada kerosakan dalam Imigresen,” katanya.

Dalam lawatan mengejut beliau kira-kira 30 minit ke KLIA semalam, Anwar merumuskan urusan dan pengoperasian Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan JIM adalah terkawal serta menyatakan beberapa permasalahan yang ada akan disusuli dengan siasatan bagi penambahbaikan dan tindakan wajar.

Mengenai pengoperasian JKDM di KLIA pula, Anwar yang juga Menteri Kewangan mendapati hanya satu daripada tujuh pengimbas barangan sahaja beroperasi dan beliau mahu keadaan itu diperbaiki segera.

“Saya kebetulan Menteri Kewangan, Kastam di bawah tanggungjawab saya, takkan tunggu menteri turun baru tahu yang mana rosak. Ini ada kelemahan dari segi maklumat kerana kalau belanjanya hanya sekitar beberapa juta, kita boleh luluskan segera. 

“Dan saya percaya baik KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamad) atau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tidak akan siasat dengan kadar segera semata-mata sebab lulus segera (peruntukan) kerana keadaan itu mendesak,” katanya.

Justeru, beliau menekankan keperluan pegawai atasan untuk turun padang untuk melihat sendiri operasi jabatan serta jangan membuat andaian bahawa semuanya beroperasi dalam keadaan baik.

“Sebab itu kadang-kadang kita di atas pun kita harus ‘turun bawah’, ‘terjun bawah’ untuk melihat sendiri kerana tidak boleh buat andaian semuanya baik, tapi mestilah tujuan untuk perbaiki bukan untuk cari salah atau kecam,” katanya. 

Anwar dalam pada itu berkata beliau mendapat maklumat ada individu yang layak mendapat status kewarganegaraan, diminta membayar sejumlah wang bagi mengeluarkan sijil kewarganegaraan.

“Semalam saya terima maklumat yang mungkin masih disiasat di Jabatan Pendaftaran Negara, …bagi orang yang layak dapat status sama ada kewarganegaraan dan sebagainya, untuk mendapatkan sijil itu dikenakan lagi bayaran tetapi jumlahnya terlalu kecil.

“Harus ada tindakan keras dan tegas, kalau tidak ia merosakkan seluruh imej pentadbiran,” katanya tanpa menghuraikan perkara itu.

Secara keseluruhannya, Anwar berkata segala kelemahan sedia ada harus diperbaiki dengan wajar agar ia tidak menjejaskan imej jabatan, penjawat awam dan negara.

RELATED ARTICLES
Utama

Angin kencang landa Semporna, 35 rumah dan 20 kenderaan terjejas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular